Perkara itu dinyatakan oleh dua buapak waris Kemin yang mewakili 30 calon benih Undang Luak Jelebu iaitu Tok Menti, Ahmad Tarmizi dan Tok Laksamana, Shaari Ahmad.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka akan mengemukakan semua bukti yang berlaku sepanjang kontroversi itu termasuk laporan kepada polis.

“Pekara yang tidak betul tidak perlu disembunyikan lagi. Kami tidak mahu adat yang dijunjung meletakkan kedudukan raja di takhta terpahat dengan kecelaan adatnya jika pekara ini tidak dibetulkan sekarang.

“Dalam hal yang sudah termaktub ini, kuasa adat adalah tertinggi sebelum menzahirkan ketua adat yang bersih dan adil bagi luaknya,” kata mereka.

Mereka berkata, kedudukan ketua adat atau Undang di luak mesti melambangkan kesepakatan daripada anak-anak buah ke buapak dan buapak ke lembaga.

Namun hari ini, tambah mereka, jika kesepakatannya sukar dibulatkan, maka panel Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan boleh mengguna pakai amalan kedudukan majoriti antara dua pihak seperti sebelum ini.

Sementara itu, Dato Ombi Pangkal Maharaja Lela, Kadin Kidam sebagai Dato’ Lembaga yang kanan berkata, masyarakat adat di Jelebu sudah maklum bahawa kedudukan Maarof yang didakwa akan ditabalkan, masih menjadi tanda tanya oleh orang ramai dan sebahagian besar Dato’ Lembaga Delapan luak itu yang sah.

Katanya, beliau bersama empat lagi Dato’ Lembaga Delapan tidak berganjak atas tanggungjawab mempertahankan keluhuran adat dan kesahihannya.

“Adalah mustahil untuk kami berlima melakukan adat sembah setia sedangkan kami tahu Maarof sejak awal tidak mengikut lunas-lunas adat yang sah.

“Bagi kami, status adat adalah tanggungjawab untuk kami pertahankan,” katanya.

Beliau meminta isu itu disiasat kebenarannya sebelum tindakan lanjut kerana tidak mahu kesalahan adat yang bercanggah itu terpahat dalam sejarah Luak Jelebu.

“Biar lambat asalkan selamat dan adil. Jika diteruskan rosak semuanya.Tidak ada guna lagi apabila adat Jelebu sudah tercemar dan tidak dihormati lagi,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE