Projek tersebut dilaksanakan melalui Program Latihan Praktikal dan Khidmat Masyarakat oleh Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU), Kementerian Kerja Raya selama dua hari mulai Rabu lalu.

Ia melibatkan seramai 60 kontraktor yang membaik pulih dan menaik taraf pendawaian elektrik dan bumbung, mengganti lantai, mengecat bangunan, menambah paip air, membina ruang tambahan dan menambah keceriaan surau.

Surau yang sudah berusia 14 tahun itu pada asalnya mampu memuatkan 200 jemaah tetapi kini berupaya menampung sehingga 400 jemaah pada satu-satu masa.

Program latihan dan khidmat masyarakat itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Bahagian BPKU, Zureen Zubir dan Guru Besar sekolah berkenaan, Azihan Ahmad.

Rosnah dalam ucapannya pada majlis itu berkata, program tersebut bertujuan menggalakkan para kontraktor Bumiputera melibatkan diri dalam projek kemasyarakatan sekali gus menjurus kepada usaha melahirkan golongan serta kelompok usahawan contoh.

"Konsep kerjasama seperti ini akan mengoptimumkan bukan sahaja kos pembinaan tetapi akan membuka peluang untuk peningkatan perkongsian pengetahuan dan pengalaman dalam sektor pembinaan," katanya.

Sementara itu, Zureen memberitahu, sebanyak 22 projek telah dilaksanakan untuk program tersebut di seluruh negara sepanjang tahun ini melibatkan nilai kira-kira RM2 juta, melibatkan sekolah, surau, masjid dan dewan orang ramai. - UTUSAN ONLINE