Sebagai anak tempatan yang dilahirkan di Kampung Air Gelugur dekat Gemencheh, beliau memahami selok belok serta setiap penjuru kawasan berkenaan dan memanfaatkan kelebihan itu untuk berbakti kepada rakyat.

Hasilnya, penduduk di Gemencheh yang dianggap kawasan ‘kampung' di negeri ini tidak ketinggalan daripada menikmati pelbagai bentuk kemajuan dan pembangunan yang dibawa oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Gemencheh kini mempunyai balai bomba baharu yang mula beroperasi bulan depan; sistem perparitan yang dinaik taraf di pekan Gemencheh dan Air Ku-ning bagi mengatasi masalah banjir; dewan orang ramai baharu di semua empat tanah rancangan Felda; pemasangan rumah pam di Felda Bukit Rokan dan Bukit Rokan Utara serta pembinaan menara tangki air di Felda.

Dalam lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke Gemencheh pada 27 Mac lalu, beliau telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi pembinaan Kompleks Sukan Gemencheh.

Menurut Mohd. Isam, tiada isu pembangunan untuk rakyat di Gemencheh malah kerajaan telah memberi perhatian yang seimbang sama ada penduduk di bandar mahu pun luar bandar.

“Semua kemudahan yang disediakan ini memberi petunjuk jelas bahawa kerajaan BN mendengar denyut nadi rakyat walaupun kita mungkin tinggal di luar bandar jauh daripada ke­sibukan dan hiruk pikuk bandar,” katanya di sini hari ini.

Beliau memberi contoh menge­nai semua 14 masjid dalam kawasan DUN berkenaan telah dilengkapi dengan pendingin hawa manakala 13,000 penduduk di empat tanah rancangan Felda juga mendapat manfaat kemudahan dewan baharu di kawasan masing-masing.

Jelasnya, dalam sesi lawatannya ke kawasan Felda, beliau mendapati dakwaan kononnya pola pengundian masyarakat peneroka telah beralih arah adalah tidak seperti yang digembar gemburkan.

Malah, tambahnya, kerajaan BN telah menunjukkan keprihatinan pentadbiran yang digambarkan melalui pembinaan perumahan generasi kedua Felda sebanyak 239 unit di Bukit Jalor dan 300 unit di Bukit Rokan U-tara.

“Turut terangkum adalah pembinaan rumah mampu milik apabila Jabatan Perumahan Negara tmeluluskan projek 150 unit rumah itu di Air Kuning,” ujarnya.

Mohd. Isam berkata, perancangan kerajaan BN untuk rakyat begitu meluas hingga penduduk kampung juga dimasukkan dalam Dasar Perluasan Kampung bertujuan memberi peluang kepada generasi muda untuk terus mene­tap di desa dengan kemudahan yang setaraf.

“Bagi mencapai hasrat ini, kerajaan BN telah menyediakan tanah seluas empat hektar di Kampung Punggor dan 20 hektar di Kampung Air Gelugur Tenai. Mereka yang layak akan ditawarkan lot tanah yang berkeluasan 540 meter persegi bagi pembinaan rumah,” katanya.

DUN Gemencheh mempunyai 15 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang mana empat daripadanya terletak di kawasan tanah ranca­ngan Felda, kampung tradisional (6), taman perumahan (3), kampung baru (1) dan ladang (1).

Dalam PRU-13, Mohd. Isam memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,025 undi menewaskan calon Pas, Mohd. Nor Yassin.

Dalam PRU-14 ini, beliau menghadapi saingan tiga penjuru menentang Ishak Maasin dari Pas dan Saiful Adly Abd. Wahab dari PKR.