Dikenali sebagai Pendeta Za’ba, Allahyarham banyak menyumbang tenaga dalam bidang bahasa dan persuratan Melayu bahkan kemampuan beliau menulis dalam bidang lain seperti ekonomi sangat mengagumkan.

Pendeta Za’ba bermula dengan menulis rencana bertajuk ‘Temasya Mandi Safar di Tanjung Kling’ yang berjaya diterbitkan dalam Utusan Melayu sebanyak dua kali ketika menjadi guru sementara di Johor Bahru pada tahun 1916.

Minatnya yang mendalam dalam bidang penulisan membuatkan tokoh ilmuwan itu gigih mengumpul bahan untuk menggabungkan tata bahasa Arab dan Inggeris ke dalam bahasa Melayu semasa berada di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim.

Selain itu, beliau antara individu yang banyak menyumbang karya sama ada penulisan rencana mahu pun terjemahan di dalam Majalah Guru dan Al-Ikhwan ketika itu.

Karya terpenting Allahyarham adalah penghasilan buku Daftar Ejaan Jawi Rumi yang bertujuan menyelaraskan penggunaan tulisan jawi kepada orang ramai selain penerbitan buku bertajuk Journal of Malayan Branch Royal Asiatic Society (JAMBRAS) yang memperkenalkan Bahasa Melayu kepada orang asing.

Khuatir perjuangan ilmuwan itu lenyap ditelan zaman, Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) dengan kerjasama kerajaan negeri menghimpunkan karya-karya serta barang peninggalan Allahyarham sebagai pameran di Muzium Teratak Za’ba, Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Negeri Sembilan.

Pembantu Kanan Muzium LMNS, Mawar Malinda Zakaria berkata, usaha itu bertujuan memupuk semangat generasi muda menghayati perjuangan Za’ba yang luar biasa selain menjadikannya bahan rujukan awam.

“Semua karya dan barang yang dipamerkan diambil daripada keluarga terdekat termasuk 2,000 pucuk surat tulisan tangan antaranya dialog Allahyarham bersama cucu beliau yang digantung buat tatapan pengunjung yang hadir,” katanya.

Muzium Teratak Za’ba yang dibina di atas sebidang tanah milik Allahyarham seluas 0.4 hektar mempunyai empat ruang utama bagi sebuah rumah tradisional Negeri Sembilan iaitu serambi, ruang ibu, susur gajah dan dapur.

“Setiap ruang menempatkan barang-barang yang digunakan Allahyarham semasa masih hidup seperti meja menelaah, mesin taip, songkok, tengkolok dan gambar keluarga.

“Pembinaan muzium yang dibuat menyamai rumah milik Allahyarham menggunakan kayu cengkal ini adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai merasai secara dekat kehidupan Pendeta Za’ba,” ujar Mawar Malinda.

Orang ramai yang ingin mendapatkan pengalaman men­dekati cendekiawan negara ini boleh menghubungi pengurusan muzium di talian 06-4985193 atau hanya layari lmns.ns.gov.my.