Sebelum ini setiap kali hujan lebat, air naik hanya sehingga ke halaman rumah, namun tidak menjejaskan kehidupan penduduk yang tidak mengambil serius perkara tersebut.

Bagaimanapun, kejadian banjir kilat yang berlaku minggu lalu agak luar biasa menyebabkan penduduk cemas kerana air naik dengan begitu cepat sehingga mencecah paras peha.

Akibatnya, enam keluarga menjadi mangsa dan banyak harta benda yang musnah sekali gus menyebabkan kerugian besar terpaksa ditanggung oleh mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Rompin, Norizan Othman berkata, dalam kejadian terbaharu itu, air naik secara tiba-tiba walaupun hujan sekejap pada sebelah petang.

“Menjelang waktu solat Maghrib tiba-tiba air semakin laju hingga naik ke paras yang agak tinggi dan boleh membahayakan keselamatan penduduk terbabit.

“Sebaik sahaja dimaklumkan tentang kejadian itu, saya terus menghubungi penduduk lain untuk membantu menyelamatkan barang-barang di dalam rumah mereka tetapi kami tidak mampu berbuat apa-apa kerana air naik terlalu pantas.

“Parit di kawasan ini agak dalam dan sebelum ini kalau hujan lebat air naik sedikit sahaja namun kali ini kejadian memang di luar jangkaan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau tidak menolak kejadian itu disebabkan masalah pada sistem perparitan di parit utama kampung itu akibat projek tanam semula kelapa sawit serta operasi mengorek pasir di kawasan berhampiran yang menyempitkan laluan air.

Sehubungan itu, beliau berharap agar tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa depan.

Sementara itu seorang mang­sa, Zainuddin Mohd. Noor, 51, berkata, banjir kilat itu menjejaskan persiapan untuk meng­adakan majlis perkahwinan anak perempuannya pada Sabtu ini kerana banyak barang-barang yang dihanyutkan air.

“Kali ini situasi banjir kilat ini cukup membuatkan kami sekeluarga panik. Jika sebelum ini hujan sekejap-sekejap seperti itu tidak mengakibatkan banjir yang teruk dan kami sempat mengalihkan barang rumah ke tempat selamat.

“Malangnya, kali ini ia berlaku begitu pantas dan kami hanya mampu menyelamatkan dokumen penting sebelum keluar dari rumah,” katanya.