Ahli Dewan Undangan Ne­geri Nilai, J. Arul Kumar berkata, mereka dikatakan berbuat demikian selepas balai raya itu dibiarkan ekoran orang ramai yang bimbang dengan keha­diran mereka dan keselamatan di premis itu.

“Minggu lalu saya memeriksa kawasan ini dan mendapati ba­lai raya tersebut disalah guna selain terdapat tilam, barang elektrik dan binaan baharu seperti dapur dan tandas di bahagian belakang bangunan.

“Kita akan buat laporan polis mengenai penempatan dipercayai warga asing dan Pejabat Daerah Nilai akan bertanggungjawab untuk menyelenggara se­mula balai raya ini untuk kegunaan orang ramai,” katanya ketika ditemui selepas melawat balai Raya Kampung Nilai Baru, dekat sini.

Mengulas lanjut, Arul Kumar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri berkata, bekalan elektrik dan air masih lagi berfungsi malah struktur bangunan juga dalam keadaan baik.

Justeru katanya, Pejabat Daerah Nilai akan merobohkan binaan tambahan yang dibina tanpa kebenaran di belakang balai raya dan membersihkan kawasan sekitar dalam masa terdekat.

Katanya, ia akan diselenggara secepat mungkin bagi memboleh­kan orang ramai khususnya masyarakat setempat melakukan aktiviti kemasyarakatan di kawasan tersebut.

“Balai raya ini baru sahaja diselenggara dua tahun lalu oleh kerajaan Persekutuan namun telah disalah guna oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

“Saya harap selepas ini Balai Raya Kampung Baru Nilai dapat menjalankan fungsinya dengan baik sekali gus memberikan kemudahan kepada masyarakat setempat untuk melakukan sebarang aktiviti kemasyarakatan,” ujarnya.