Justeru, pusat beli-belah dan premis perniagaan berebut-rebut menawarkan potongan harga bagi menarik perhatian ibu bapa.

Tidak ketinggalan beberapa peniaga yang terlibat menjayakan Karnival Kesihatan Ampangan di Dewan Besar Gedung Lalang dekat sini.

Apa yang menarik, ada di antara mereka menjual baju sekolah pada harga serendah RM5 sepasang.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi tersebut mendapati, harga promosi yang ditawarkan pada karnival itu jauh lebih murah berbanding di premis perniagaan lain.

Bagi seorang peniaga, Mohd. Faezli Khusssin berkata, pakaian sekolah yang dijual pada harga RM5 itu diambil dari pembekal secara pukal di Tangkak, Johor sebelum dijual di beberapa lokasi seperti Muar, Gemas, Bahau dan Seremban.

“Saya mengambil inisiatif menjual pakaian sekolah baharu dengan harga jauh lebih murah berbanding pasar raya bagi membantu golongan berpendapatan rendah menyediakan kelengkapan persekolahan untuk anak-anak.

“Memandangkan ini lokasi terakhir, saya telah menjual kira-kira 15,000 helai pakaian sekolah dan kebanyakan pelanggan yang datang berpuas hati dengan pakaian yang dibeli,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Jelasnya, dia sekadar mendapat keuntungan sebanyak 50 sen setiap sehelai baju yang dijual.

Sementara itu bagi Siti Rozila Romly, 30, membeli pakaian dari karnival tersebut mampu menjimatkan wang perbelanjaan biarpun hanya seorang anak.

“Pada tahun ini saya hanya membelanjakan RM150 berban­ding tahun lepas saya memper­untukkan hampir RM300 untuk membeli pelbagai peralatan persekolahan anak,” katanya.

Bagi Siti Aminah Mohamad, 45, pula, harga promosi yang ditawarkan di karnival tersebut menjadi tarikan utama kepada ibu bapa untuk membeli kelengkapan persekolahan.

Katanya, biarpun hanya terdapat jualan baju sekolah, namun ia membantu sekali gus mampu mengurangkan kos perbelanjaan terutama kepada mereka yang mempunyai anak yang ramai.

“Paling minimum, seorang anak memerlukan dua pasang baju sekolah namun jika mempunyai anak yang ramai, sudah tentu membebankan.

“Harga sepasang baju pada masa kini sudah mencecah hampir RM50, namun di karnival ini hanya RM5 sepasang,” katanya.