Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan tersebut hari ini mendapati laluan keluar dari kawasan perindustrian itu juga terpaksa dilencongkan ke laluan masuk kerana kerosakan teruk pada laluan kiri jalan utama.

Selain itu, pengguna bukan sahaja terdedah terhadap risiko kemalangan malah terpaksa memperuntukkan sejumlah wang untuk menyelenggara dan memperbaiki kenderaan mereka.

Menurut pekerja teknikal Muslim Best Marketing (M) Sdn. Bhd, Azrul Nizam Ahmad, 34, dia terpaksa memberi sepenuh perhatian setiap kali melalui jalan utama selain mendakwa hampir terjatuh ketika melalui laluan tersebut.

“Saya terpaksa lebih berhati-hati terutamanya ketika hujan kerana jalan yang berlubang akan menyebabkan air bertakung dan mengundang bahaya kepada penunggang motosikal seperti saya.

“Sepanjang sebulan saya bekerja di kawasan ini, sudah beberapa kali saya hampir terjatuh dari motosikal selain terpaksa mengeluarkan wang semata-mata mahu membaiki kerosakan kecil akibat melalui jalan tersebut,” katanya ketika ditemui, di sini.

Tinjauan turut mendapati dakwaan tersebut berasas ke­rana permukaan jalan di situ tidak rata dan berlubang.

Keadaan itu diburukkan lagi oleh kegiatan lori membawa muatan pasir dari kawasan berhampiran yang menggunakan laluan tersebut.

Difahamkan, kerosakan permukaan laluan utama itu sudah berlarutan beberapa bulan dan tiada sebarang kerja baik pulih dilaksanakan pihak bertanggungjawab.

Selain itu, pemandu dilihat terpaksa memperlahankan kenderaan bagi me­ngelak lubang di te­ngah-tengah jalan.

Bagi pekerja pentadbiran Muslim Best, Nur Ain Izzati Mazlan, 26, dia yang bekerja di kawasan Pedas Halal Park sejak tiga tahun lalu mendapati kerosakan jalan di kawasan itu adalah yang paling teruk pernah berlaku.

“Bagi pihak Pedas Halal Park, Muslim Best telah menghantar aduan kepada MIDF Property Berhad pada 17 Julai lalu mengenai kerosakan jalan utama kawasan ini, namun tiada sebarang tindakan susulan diambil dari pihak berkenaan.

“Justeru kami berharap agar pihak yang bertanggungjawab segera membaik pulih jalan yang rosak bagi mengelak sebarang perkaran tidak diingini berlaku,” katanya.