Keadaan semakin membimbangkan apabila lereng bukit tersebut dilihat semakin terhakis dan boleh mengalami runtuhan lebih besar jika tiada usaha membaikinya dilakukan segera.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan terbabit mendapati, ke­banyakan rumah di bahagian le­reng bukit tersebut mengalami keretakan serta mendapan rumah di tahap yang serius.

Difahamkan, permasalahan yang menghantui penduduk taman tersebut sudah berlanjutan lebih 10 tahun dan semakin kerap berlaku sejak projek pembangu­nan baharu dijalankan di kawa­san sekeliling.

Lebih teruk, sistem saliran sedia ada tidak lagi mampu untuk menampung air menyebabkan berlaku limpahan yang menjadi salah satu punca hakisan tanah.

Penduduk terpaksa mengambil insiatif sendiri memasang kanvas sebagai jalan penyelesaian bagi mengurangkan pergerakan tanah yang dikesan dari masa ke semasa dan semakin membimbangkan sementara me­nunggu tin­dakan susulan diambil.

Masalah yang dialami sebaha­gian penduduk di situ telah diadukan kepada pihak bertanggungjawab dan pada tahun 2010 kerja-kerja memasang batu sangkar untuk menahan hakisan ta­nah telah dibuat tetapi tindakan tersebut tidak menyeluruh dan hanya melibatkan beberapa buah rumah sahaja.