Golongan itu sudah dikenali sebagai pembawa berita dengan cepat mengenai perkara yang berlaku di sekitar mereka termasuk kes jenayah.

Namun begitu, disebabkan ingin menjaga hubungan baik dengan jiran dan tidak mahu dilihat seperti menjaga tepi kain orang, maklumat penting tersebut mungkin dibiarkan tanpa dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Berikutan itu, Polis Diraja Ma­laysia (PDRM) telah mewujudkan satu unit khas dikenali sebagai Amanita atau Peace Lady sebagai langkah untuk mendapatkan maklumat berhubung kegiatan jenayah yang tidak dilaporkan.

Langkah itu dilaksanakan di bawah Strategi Laut Biru Kebangsaan (NBOS) yang menyasarkan suri rumah sebagai Rakan Polis atau diperkenalkan sebagai E­ngage Housewives in Neighbourhood Safety, satu komunikasi dua hala de­ngan polis dalam usaha mengurangkan kegiatan jenayah di kawasan kejiranan.

Amanita adalah anggota polis wanita yang digerakkan di setiap daerah dalam negara untuk menarik penglibatan wanita dan suri rumah dalam program keselamatan yang dijalankan.

Gerakan itu akan membina hubungan bersama persatuan penduduk terutamanya suri rumah dengan menyertai aktiviti penduduk seperti persatuan, program masakan dan kenduri kendara.

Dengan adanya hubungan erat dan aktif antara mereka, ia mampu mengurangkan tahap kebimbangan masyarakat terhadap jenayah dan pada masa yang sama mengubah persepsi komuniti terhadap kualiti pasukan polis.

Program itu juga dapat merapatkan jurang antara PDRM dan masyarakat sekali gus mengubah persepsi kononnya pihak polis sukar didekati dan mempunyai pelbagai prosedur untuk membuat sebarang aduan.

Secara tidak langsung, kaedah yang dilakukan itu menunjukkan PDRM mengiktiraf peranan wanita dalam pelbagai bidang di negara ini termasuk suri rumah dalam pembentukan modal insan.

Amanita juga menjadi perantara bagi mendapatkan sebarang maklumat khususnya yang ber­unsur jenayah daripada kalangan suri r­umah.

Maklumat tersebut kemudiannya disalurkan kepada jabatan atau unit berkaitan di balai polis bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

Dalam masa yang sama, mereka juga menerangkan serba sedikit mengenai aspek keselamatan apabila berhadapan dengan jenayah agar tidak panik dan membuat sesuatu yang mengundang bahaya kepada mereka.

Amanita menyasarkan wanita terutamanya suri rumah yang duduk di kampung dan taman perumahan untuk didampingi dan menjadikan mereka sebagai mata dan telinga pihak polis.

Bagaimanapun, seperti lazim­nya, segala butiran peribadi pe­ngadu tidak akan didedahkan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

Menurut Pegawai Turus Amanita, Deputi Supritenden (DSP) Zaiton Tokiman, sebanyak 17 buah skuter berwarna putih ungu telah diagihkan kepada lapan daerah di negeri ini yang melibatkan sembilan buah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Antara balai polis yang terlibat adalah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)negeri, IPD Rembau, IPD Se­remban, IPD Nilai, IPD Port Dickson, IPD Jempol, IPD Tampin, IPD Kuala Pilah dan IPD Jelebu.

“Amanita dilancarkan di bawah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) bagi melaksanakan pendekatan lebih proaktif dan bersepadu dalam mencegah jenayah,” jelasnya.

Tambahnya, Amanita akan memudahkan proses penerimaan maklumat daripada wanita kerana golongan itu lebih selesa untuk berhubung dengan kaum yang sama jantina.

“Amanita bersahabat baik dengan golongan sasaran dan akan menyertai segala aktiviti mereka serta pada masa yang sama mendapatkan maklumat daripada mereka,” katanya.

Zaiton berkata, suri rumah adalah golongan yang sesuai untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak polis dalam membantu memberi maklumat aktiviti jenayah yang berlaku di sekitar kawasan perumahan mereka atau kawasan berdekatan.

“Melalui Amanita, kita harap ia dapat melahirkan suri rumah yang dapat menjaga keselamatan diri, keluarga dan harta benda serta jiran tetangga di samping dapat memantau sebarang bentuk kes jenayah dengan melaporkan aktiviti yang mencurigakan, ujarnya.