Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pemba­ngunan itu akan dilaksanakan oleh kumpulan pelaburan, pembangu­nan hartanah dan pembiayaan mo­dal, OSK Holdings Bhd. (OSK).

Beliau berkata, rumah mampu milik jenis teres kelas A berharga bawah RM80,000 itu yang mempunyai keluasan tidak kurang da-ripada 83.6 meter persegi dijangka mula dibina hujung tahun ini.

“Pembangunan rumah mampu milik itu adalah antara komponen pembangunan komprehensif oleh kumpulan OSK di kawasan lebih 310 hektar yang dibeli oleh syarikat itu di sini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Kelab Tuanku, Mambau dekat sini.

Lebih 1,000 orang hadir pada majlis itu yang diadakan di Dewan Orang Ramai taman berke­naan.

Yang turut hadir, isteri Mohamad, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin.

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia tahun lalu, OSK melalui unit tidak langsung Aspect Synergy Sdn. Bhd., merancang pem­bangunan kediaman dan ko­mersil bersepadu di sini de­ngan anggaran nilai pembangunan kasar RM3.6 bilion.

Mohamad memberitahu, pembangunan kawsan tersebut turut menyediakan tiga bidang tanah untuk rizab sekolah kebangsaan, sekolah menengah (2), Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Shanghai Seremban selain dua hektar untuk masjid dan rumah ibadat.

Beliau menarik perhatian, ke­rajaan negeri gembira dengan pembangunan rumah mampu milik tersebut yang memberi peluang kepada rakyat di negeri ini untuk memiliki rumah sendiri.

“Saya ingin menggesa orang ramai yang berminat mendaftar dengan Unit Perumahan kerajaan negeri bagi membolehkan mereka berpeluang untuk membeli rumah di sini.

“Pembinaan rumah mampu milik adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri menyediakan perumahan di bawah Dasar Perumahan Negeri yang dilancarkan pada 2015,” ujarnya.

Di bawah dasar itu, kerajaan negeri menetapkan sebanyak 50 peratus rumah mampu milik dibina dalam setiap projek pemba­ngunan perumahan di negeri ini.