Larian yang bermula di Dataran Centrio, Seremban 2 itu mempertandingkan kategori 21 kilometer (km) dan 10 km masing-masing bagi 18 tahun ke atas dan 12 tahun ke atas.


Pengarah Urusan IJM Land Berhad, Edward Chong berkata, melalui acara itu pihaknya berharap dapat mewujudkan masyarakat yang gemarkan aktiviti sihat dan gaya hidup aktif.


“Acara ini telah berjaya menarik minat penggemar acara larian saban tahun. Sasaran kami menjadikan acara ini sebagai platform mengukuhkan ikatan antara masyarakat dan dalam masa yang sama menikmati sukan ini.


“Larian ini telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dengan penyertaan daripada peserta Jepun, Korea Selatan, New Zealand, United Kingdom dan Filipina,” katanya dalam satu kenyataan di sini.


Menurut Edward, buat kali ketiga dana yang dikutip daripada acara itu akan disalurkan kepada dua badan kebajikan iaitu Pertubuhan Hospice Negeri Sembilan dan Persatuan Penyakit Lysosomal Malaysia.


Beliau berkata, semua pelari yang berjaya menamatkan larian telah menerima barangan menarik daripada penaja, Yakult selain pingat dan sijil penyertaan.
Ujarnya, paling menarik perhatian adalah cabutan bertuah yang menyediakan hadiah bernilai lebih RM15,000. - UTUSAN ONLINE