Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Rusni Ab. Jalil berkata, jumlah itu menurun berbanding 624 calon yang memperoleh keputusan yang sama untuk tahun 2014.

Beliau berkata, Gred Purata Ne­geri (GPN) turut menurun sebanyak 0.05 kepada 4.90 berbanding 4.85 pada 2014.

“Daripada jumlah itu, seramai 11 calon dari tujuh sekolah kerajaan telah berjaya mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh pangkat A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil,” katanya dalam sidang akhbar di Jabatan Pendidikan negeri, di sini hari ini.

Menurutnya, pencapaian GPN calon di luar bandar bertambah sebanyak 0.13 kepada 4.74 berbanding 4.61 pada 2014 manakala pencapaian calon di luar bandar berkurangan sebanyak 0.07 kepada 5.16 berbanding 5.23 pada 2014.

Tambahnya, seramai 13,262 calon sekolah atau 84.7 peratus daripada keseluruhan calon layak mendapat sijil SPM 2015.

Rusni berkata, walaupun GPN negeri menurun namun banyak sekolah yang mencatatkan peningkatan dalam Gred Purata Sekolah (GPS) masing-masing.

Antaranya, tambah beliau, ialah Sekolah Dato’ Abdul Razak yang mencapai 2.10 untuk 2015 berban­ding 2.61 pada 2014; Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu (2.17)(2.26) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said (2.27)(2.37).

“Bagi sekolah yang mengalami penurunan dalam GPS, Jabatan Pendidikan negeri akan melakukan ‘post mortem’ untuk mengenal pasti punca dan melakukan tindakan susulan,” ujarnya.

Jelasnya, Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir muncul sekolah terbaik dengan mencapai GPS 1.40 diikuti Sekolah Menengah Sains Perempuan Seremban (1.58) dan Kolej Tunku Kurshiah (1.69).

“Sementara itu, bagi Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), seba­nyak 35 daripada 60 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi manakala 23 mata pelajaran menurun prestasinya berbanding 2014 dengan dua mata pelajaran tidak diambil pada 2014,” katanya.