Program itu adalah yang pertama dianjurkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri ini bagi tahun ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, sejak ia mula dilaksanakan pada 2009, seramai 4,109 orang di seluruh negeri ini telah mendapat manfaat daripada program SKSJ.

“Di peringkat nasional, seramai 77,061 orang telah mendapatkan lesen memandu motosikal melalui program ini.

“Program ini diadakan bertujuan membantu masyarakat luar bandar khususnya warga emas yang berumur 45 tahun ke atas dalam urusan mendapatkan Lesen Memandu Percubaan (P) kelas B2,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutup Program SKSJ Daerah Rembau di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Dr. Awaludin Said.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Kota, Datuk Zaifulbahri Idris dan Pengarah JPJ negeri, Nazli Md Taib.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapannya berkata, program SKSJ adalah satu kaedah yang digunakan untuk memastikan para penunggang motosikal di kalangan warga emas memiliki lesen memandu yang sah.

Program itu, katanya, dapat mengelak mereka daripada terus melakukan kesalahan serta melanggar undang-undang jalan raya kerana tiada peluang atau sukar mendapatkan lesen memandu akibat usia yang tidak mengizinkan untuk melalui proses biasa.

Menurutnya, program itu telah memberi peluang kepada masyarakat terutamanya di luar bandar mendapat perkhidmatan secara terus iaitu kemudahan memiliki lesen memandu dengan proses ujian dan bayaran yang khas.

“Usaha yang diambil oleh JPJ dalam melaksanakan program SKSJ adalah selari dengan kehendak kerajaan ke arah mewujudkan perkhidmatan yang mesra rakyat selaras dengan slogan ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.

“Kerajaan memberikan keutamaan kepada isu-isu yang dianggap penting oleh rakyat serta penekanan kepada prestasi dan pencapaian penjawat awam apabila berurusan dengan rakyat,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Awaludin.