Mereka yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun adalah murid sekolah yang dipilih dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Labu dan Sikamat.

Sumbangan telah disampaikan oleh Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar negeri, Ismail Ahmad dan Pengurus Besar TNB Negeri Sembilan, Wan Ishak Soed.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan sumbangan seperti itu yang dapat meringankan beban ibu bapa menyediakan peralatan untuk sesi persekolahan baharu tidak lama lagi.

“Kerajaan negeri menghargai peranan yang dimainkan oleh sektor swasta di negeri ini yang tampil dengan program tanggung jawab sosial korporat (CSR) masing-masing untuk memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Wan Ishak berkata, para penerima sumbangan hari ini adalah sebahagian daripada kira-kira 5,000 murid di seluruh negara yang menerima bantuan bagi meringankan beban keluarga masing-masing menjelang sesi baharu persekolahan bermula awal Januari 2019. 

“Sejak diperkenalkan pada 2013, lebih 25,000 murid sudah mendapat manfaat daripada program berkenaan yang merupakan salah satu daripada pelbagai inisiatif CSR TNB dalam bidang pendidikan sejak sekian lama,” katanya. - UTUSAN ONLINE