Notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 itu dikeluarkan terhadap 13 peniaga di Pasar Besar Seremban manakala tujuh lagi di Pasar Ampangan di sini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, Zubir Hamsa berkata, ia melibatkan 14 peniaga ayam dan masing-masing tiga notis kepada peniaga daging kambing dan daging lembu.

“Notis ini kita serahkan kepada peniaga untuk meminta dokumen tambahan atau tunjuk sebab kenapa mereka menaikkan harga jualan,” katanya ketika ditemui selepas pemeriksaan harga barangan di Pasar Besar Seremban dan Pasar Ampangan di sini.

Zubir berkata, KPDNKK Ne-geri Sembilan memberi tempoh selama lima hari untuk peniaga berkenaan memberi maklum balas mengenai kenaikan harga barangan secara mendadak itu.

Jelas beliau, kenaikan harga ayam didapati begitu ketara iaitu dari sekitar RM7 hingga RM8.20 sekilogram sebelum ini kepada RM9.20.

Bagaimanapun, katanya, kenaikan harga daging lembu dan kambing tidak ketara dan masih terkawal.

Tegas beliau, jika peniaga didapati sengaja menaikkan harga, KPDNKK akan menyiasat mereka di bawah AKHAP 2011 kerana kesalahan membuat keuntungan tinggi yang tidak munasabah.

Katanya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat jika terdapat sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah di talian 03-8000 8000, talian bebas tol 03-8882 6088/6245.