Pengerusi Jawatankuasa Ber­tin­dak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias berkata, dari Januari hingga Mac lalu, sebanyak 2,658 pemantauan dan serbuan terhadap premis disyaki pusat judi haram di empat daerah berkenaan dilakukan pihak berkuasa.

Katanya, dalam serbuan tersebut, seramai 167 pekerja serta 500 pelanggan ditahan manakala 1,669 peralatan perjudian terma­suk komputer di premis ber­kenaan dirampas.

“Sebanyak 58 pertuduhan sudah dibuat di mahkamah dan 41 kes dalam siasatan. Saya sangat kecewa kerana aktiviti judi haram masih berlaku di beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT). Ada dalang besar dalam aktiviti ini kerana hari ini kita serbu, esok beroperasi semula.

“Kita kenal pasti dalang judi haram ini tidak ramai. Mungkin dua atau tiga orang sahaja, tetapi mereka buka pusat judi di semua daerah. Apabila kita serbu di empat daerah, operasi mereka di daerah lain masih berjalan kerana mereka ada pelanggan tetap,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Jalaluddin berkata, pihaknya mengenal pasti antara modus operandi aktiviti judi haram termasuk berselindung di sebalik perniagaan pusat hiburan, peralatan komputer, kafe siber dan makanan segera.

Beliau mengakui kadangkala berlaku kebocoran maklumat operasi pasukan petugas khas yang dianggotai Polis Diraja Malaysia, PBT, Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd., Tenaga Nasional Berhad dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

“Kita sedang teliti perkara ini dan berharap pihak berkuasa tidak bertolak ansur dengan pengendali judi haram yang mencabar kuasa kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, empat daerah lain iaitu Kuala Pilah, Tampin, Rembau dan Jelebu diisytihar bebas judi siber hasil penguatkuasaan berterusan pa­sukan petugas khas yang ditubuhkan kerajaan negeri sejak tahun lalu.