Projek rumah gantian itu dilaksanakan di bawah tanggung jawab sosial syarikat Power Bricks Sdn. Bhd. terhadap penduduk yang tinggal di sekitar tapak kilang berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Ber­tindak Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli berkata, pemindahan penduduk itu dilakukan oleh Power Bricks yang telah mengambil alih pengurusan kilang tersebut daripada pemilik lama.

Beliau berkata, pada tahun 1996, syarikat kilang seramik Ibada pernah berjanji untuk memberikan penempatan baharu kepada penduduk itu tetapi atas beberapa halangan projek itu te­lah tergendala.

“Hari ini terciptanya sejarah apabila sebuah syarikat swasta yang mengambil alih tanggungjawab dari pengurusan lama mengotakan janji itu.

“Seramai 12 orang penerima tanah dan rumah diraikan hari ini. Bagi memastikan kelancaran projek, satu rangka kerja dan perancangan yang teliti akan dibuat bersama pejabat daerah dan agensi bahagian teknikal yang lain,” katanya dalam ucapan pada majlis pecah tanah pemindahan penduduk Kampung Ibada di Serting Tengah, dekat sini.

Shamsulkahar juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat sejak awal hingga hari ini yang berusaha memastikan projek rumah gantian itu dapat direalisasikan.

Sementara itu, seorang penduduk, Mohammad Nor Omar, 55, yang menerima sebidang ta-nah dan rumah berkata, ia adalah satu pemberian yang amat dihargai oleh keluarganya.

“Sebagai generasi kedua di perkampungan ini, saya amat bersyukur atas usaha pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Jawa, Pejabat Daerah Jempol dan wakil rakyat yang banyak membantu menjayakan hasrat kami.

“Jika arwah ayah masih ada pasti dia gembira kerana perjua­ngannya suatu ketika dahulu kini berhasil,” katanya.

Seorang lagi penerima, Samah Umar, 75, berkata, beliau gembira kerana penantian selama lebih 15 tahun berakhir.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu merea­lisasikan impian kami,” katanya.