Beliau yang melakar sejarah sebagai anak peneroka Felda pertama yang menjadi calon di DUN Pulau Tawar disenangi oleh penduduk setempat apabila kerap turun padang membantu dan mendengar permasalahan rakyat swalaupun belum menjadi wakil rakyat.

Wartawan Utusan Malaysia ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN berkesempatan bertemu dan menemuramah beliau yang merupakan 
anak peneroka Felda Sungai Tekam itu.

Nazri Ngah
NAZRI NGAH

UTUSAN: Apakah prinsip dan pegangan Datuk dalam menggalas tanggungjawab dalam parti selama ini?

NAZRI: Saya memang calon baharu yang ditakdirkan Allah menjadi calon pada umur 59 tahun selepas diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan direstui Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob menggalas tanggungjawab bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar.

Saya memegang jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian selama 10 tahun dan tidak pernah jemu dan kecewa walaupun tidak dipilih menjadi calon ketika itu. Saya sentiasa berpegang kepada prinsip lagenda Hang Tuah iaitu penuh setia dan walak kepada kepemimpinan parti dan saya tidak pernah derhaka.

Buat kali pertama berkempen sebagai calon apakah pendekatan Datuk?

Walaupun sebelum ini saya tidak menjadi wakil rakyat, saya selalu turun ke kampung-kampung terutama kalau ada kawan-kawan tidak sihat, kematian, kenduri kendara dan sebagainya dan saya selalu berkumpul bersama orang ramai tidak kira UMNO atau Pas, itu cara saya daripada muda sampai sekarang.

Selain gerakan yang bercirikan kempen saya melakukan pendekatan ‘personal touch’ dengan penduduk Felda, kampung-kampung tradisional dan ke kedai-kedai kopi bersama mereka secara rileks dan santai.

Dengan mempunyai kawasan Felda yang luas melibatkan 13 Tanah Rancangan Felda dan sebuah Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak, DUN Pulau Tawar mempunyai pengundi Felda yang ramai iaitu 21,111 orang daripada 23,248 pengundi. Jadi bagaimana Datuk melihat cubaan pembangkang bagi mempengaruhi masyarakat Felda?

Mereka (pembangkang) ini sa­ngat cemburu dengan sistem yang dilaksanakan Felda kalau mereka menjadi pemerintah pun mereka akan betul-betul menjaga Felda sepertimana kita menjaga Felda, mereka cemburu atas kejayaan kerajaan.

Berbalik kepada isu Felda cuma satu dua perkara yang berlaku baru-baru ini tetapi kerajaan sudah mengambil tindakan danbagi saya mereka (warga Felda) tidak terpengaruh. Saya sebagai anak peneroka Felda, calon dari Felda memikirkan bagaimana caranya untuk mempastikan bahawa anak-anak muda Felda terbela dan tidak lari daripada arus pembangunan ekonomi negara.

Sebagai DUN yang mempunyai kawasan tanah rancangan yang luas bagaimana Datuk mendepani isu Felda yang melibatkan ge­ne­rasi kedua?

Pertama sekali saya hendak menaikkan taraf hidup anak-anak muda Felda, ayah mereka sudah ada tapak rumah maka mereka mesti mahukan tapak rumah dan juga ladang.

Jika saya menjadi wakil rak­yat nanti saya akan membawa ma­salah tanah dalam persida­ngan DUN dan membangkitkan ma­salah tapak rumah dan tanah lot kosong untuk generasi kedua.

Mereka tidak boleh dipinggir­kan, kalau dahulu kita boleh me­­rancang penempatan dan me­ni­ng­katkan eko­nomi peneroka Felda kenapa hari ini tidak boleh buat untuk gene­rasi kedua. Kita boleh buat sebab kita adalah kerajaan yang sama.

Pulau Tawar perlu me­nge­kal­kan kerusi BN, apakah pesanan kepada pengundi?

Saya menyeru pengundi ja­ngan terpengaruh kononnya hendak ubah lima tahun sahaja. Pembangkang ini bukan sahaja lima tahun tetapi lima hari sahaja memerintah macam macam boleh buat hingga merugikan rakyat.

Jadi saya menyeru pengundi jangan cuba-cuba ubah, kalau tengok isteri kita yang sudah lama bersama kita jangan cuba-cuba hendak mencari isteri baharu kerana isteri baharu tidak seindah isteri lama.Ikut cakap pembangkang memang manis, memang sedap. Di sini UMNO kuat, jadi kita kena jaga UMNO kerana UMNO telah berjaya mengubah landskap geografi kawasan Pulau Tawar yang terus membangun.