NASIR JOHAN
NASIR JOHAN 

Malah tanaman miliknya yang berjumlah 50 batang pokok di lot percubaan itu kini sedang lebat berbuah dan menunggu masa untuk dituai, yang dijangka pada Januari depan.

Nasir Johan, 57, berkata, pokoknya itu yang ditanam menggunakan teknik cantuman baji daripada pokok asli Harumanis, mula mengeluarkan hasil pada 2017.

Katanya, dia pernah membekalkan Harumanis di luar musim iaitu semasa satu persidangan di negeri ini dan sekali lagi sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

"Pada musim pertama (hanya sebahagian pokok berbuah) saya memperoleh hasil yang memuaskan dan meningkat untuk musim yang seterusnya.

"Jika di tempat lain, Harumanis hanya boleh dikeluarkan pada musimnya iaitu pada Mei, tetapi di kebun saya, buah ini boleh dinikmati di luar musimnya," katanya ketika ditemui di kebunnya di sini hari ini.

Menurut Nasir, mempelam yang dihasilkan adalah yang asli kerana menggunakan pokok penanti dan cantuman baji daripada pokok Harumanis serta bukannya menggunakan benih daripada variati jenis lain atau dari luar Perlis.

Katanya, berikutan itu, buah Harumanis yang dihasilkan adalah lebih baik kerana menepati ciri-ciri sebenar tanaman berkenaan.

Mengenai rahsia kemampuannya mengeluarkan Harumanis di luar musim, dia memberitahu, ia terletak kepada teknik pengurusan kebun yang baik, hasil daripada khidmat nasihat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) negeri dan Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI).

"Pekebun sebenarnya perlu berhati-hati terhadap pertumbuhan kulat pada bunga dan pangkal pokok. Pada bunga, saya menyembur racun kulat manakala di bahagian pangkal pokok, saya menggunakan kapur.

"Saya juga menggunakan baja organik iaitu selepas pemangkasan, hormon penggalak bunga dan penyemburan nutrien sekali seminggu sebaik sahaja pokok mula berbunga," jelasnya.

Dalam pada itu, Nasir bersyukur kerana pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri bersetuju untuk membantunya menawarkan tenaga kerja daripada pelatih yang sudah bebas.

"Saya bersedia membantu pelatih ini dengan memberikan kemahiran menanam Harumanis dan penghasilan benih dengan sejumlah elaun bagi kebaikan bersama," katanya. - UTUSAN ONLINE