Begitu penting pengaruh telefon bimbit kepada seseorang apatah lagi dengan ledakan teknologi maklumat pada masa ini.

Bukan itu sahaja, hampir semua orang baik kanak-kanak, remaja sehingga golongan dewasa mempunyai telefon bimbit serta pelbagai akaun aplikasi media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

Ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kini turut mengubah paradigma, panda­ngan dan budaya serta norma kehidupan masyarakat global.

Antara kesannya - semakin ramai yang menyendiri dan lebih gemar berinteraksi dalam alam siber, lebih mementingkan diri, anti-sosial dan lebih senang meluahkan perasaan serta emosi masing-masing menerusi saluran media sosial.

Andai apa yang dinukilkan bersifat positif, mesej tersebut pasti menghadirkan impak serupa, namun sekiranya mesej yang disampaikan merupakan amarah terhadap sesorang atau sesuatu isu, natijahnya akan mengguris emosi pihak tertentu dan golo­ngan berkaitan.

Ini sebenarnya cabaran hebat ekoran ledakan ICT dan seringkali ada pihak menggunakan media sosial untuk ‘menghentam’ secara terbuka golongan lain.

Jadi, isunya bukan sahaja impak atau kesan mesej tersebut, tetapi yang penting bagaimana mengawal jati diri supaya apa yang ditulis tidak bersifat emosi apatah lagi sesuatu isu belum terbukti benar atau silapnya.

Malah, sejak akhir-akhir ini dengan pelbagai isu yang berlegar dalam media sosial, ramai yang cuba menjadi hero dan he­roin dengan memburuk-burukkan reputasi seseorang atau golongan lain.

Mesej fitnah, tuduhan, menghasut dan melempiaskan perasaan marah serta geram terhadap golongan lain amat bermaharajalela.

Inikah budaya masyarakat kita? Atau ini sudah diterima sebagai budaya dalam lingkungan ‘masyarakat siber’?

Hakikatnya amat menyedihkan kerana ICT khususnya aplikasi media sosial banyak memberi kebaikan berbanding keburukan.

Jadi, tanya pada selera diri - pilih yang baik atau buruk!