Beliau bersama rombongan dijadual tiba di Perlis pada pukul 10.45 malam ini dan akan bermalam di Hotel Putra Regency di sini.

Lawatan kerja Perdana Menteri esok dimulakan dengan majlis 'Sembang Bajet' bersama 3,000 pelajar dari seluruh negeri ini di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) kampus tetapnya di Ulu Pauh kira-kira pukul 8.30 pagi.

Pada pukul 10.15 pagi, beliau dijadual merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perlis di Kampung Sena di sini, seterusnya meluangkan masa beramah mesra bersama para penjawat awam.

Selepas itu, Perdana Menteri serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan menyertai majlis santapan tengah hari bersama Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid di Istana Arau, kira-kira pukul 1 petang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu kemudian akan menghadiri majlis perjumpaan bersama jentera pentadbiran BN negeri di Dewan 2020 di sini pada pukul 3.30 petang.

Najib dijadual mengakhiri lawatan pada pukul 5 petang untuk bertolak kembali ke Kuala Lumpur menggunakan penerbangan khas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah.- UTUSAN ONLINE