Tiga pihak tersebut ialah Sime Darby Property Bhd., Brunsfield Development Sdn. Bhd. dan Kumpulan Wang Persaraan.

Bagi penduduk Negeri Sembilan, projek tersebut bakal memberi impak besar buat mereka kerana ia dilaksanakan di kawasan seluas 153,000 hektar di negeri ini, merangkumi daerah Seremban dan Port Dickson.

MVV memberi tumpuan kepada empat pemacu pemba­ngunan utama iaitu berteraskan pembuatan berteknologi tinggi, pelancongan dan kesihatan, pendidikan dan penyelidikan berasaskan kemahiran serta pengkhususan perkhidmatan.

Pembangunan secara berfasa sehingga tahun 2045 itu dijangka mampu menarik pelaburan lebih RM290 bilion selain mewujudkan 1.38 juta peluang pekerjaan baharu.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan pelancaran di peringkat antarabangsa akan diadakan sebelum akhir tahun ini sekali gus dijangka mewujudkan lonjakan besar bagi projek berkenaan.

Jika sebelum ini, Negeri Sembilan hanya dikenali sebagai negeri ‘paling hampir’ de­ngan Lembah Klang, MVV akan meletakkan negeri ini sebagai sebahagian daripada wilayah itu di bawah projek Greater Kuala Lumpur.

Bagi penulis, MVV adalah projek untuk generasi masa depan dan dengan lebih satu juta peluang pekerjaan selain perniagaan, pastinya ia akan menarik kehadiran tenaga kerja dari seluruh negara dan juga pelabur asing.

Sebab itulah bagi fasa pertama, rumah mampu milik akan dibina dengan dilengkapi tempat riadah dan sukan untuk menarik kehadiran golongan muda dan eksekutif muda yang akan menjadi pemangkin MVV.

Dalam masa yang sama, sebagai ‘tuan rumah’, anak-anak muda kelahiran negeri ini wajar diberi keutamaan dan merebut daripada limpahan pembangunan berkenaan.Bagaimanapun, ‘yang bulat takkan datang bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang’. Maknanya, mereka tidak boleh hanya berpeluk tubuh tetapi perlu bijak memanfaatkan peluang yang bakal dijana daripada projek itu.

Dengan pembangunan bersaiz besar kelak, kita berharap generasi muda di negeri ini bukan hanya mengejar pekerjaan 'makan gaji' sebaliknya meneroka peluang mencipta pekerjaan sendiri tanpa perlu bergantung kepada majikan.

Semua itu hanya boleh dicapai dengan melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan pada hari ini terutama sekali dalam bidang teknologi maklumat.

Harus diingat gelombang pembangunan tidak mengenal atau menunggu sesiapa.

Mereka perlu ikut serta jika tidak mereka hanya akan menjadi pemerhati di halaman sendiri.