Wartawan Utusan Malaysia, NIK HAFIZUL BAHARUDDIN bersama jurugambar AMIR KHALID menemu bual Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Datuk Kamarul Baharin A. Kasim untuk merungkai peranan dan sumbangan muzium sebagai ejen perpaduan bangsa, selain platform mendidik masyarakat melalui pameran dan pelbagai aktiviti yang dilaksanakan.

Boleh Datuk terangkan serba sedikit mengenai muzium serta objektif dan sumbangan kepada masyarakat?

Kamarul Baharin: Terdapat empat jenis muzium di negara ini iaitu muzium persekutuan, negeri, agensi kerajaan dan institusi serta swasta dan perseorangan.

Muzium perlu bergerak mengikut Majlis Muzium Antarabangsa (ICOM) yang berfungsi sebagai induk.

Objektifnya adalah untuk memberi pengetahuan, pendidikan dan menyemarakkan penglibatan generasi muda khususnya berkaitan sejarah dan budaya negara.

Jadi teras utama muzium ada lima. Pertama penyelidikan, kedua pengumpulan koleksi, ketiga membuat kerja-kerja konservasi iaitu memelihara dan membaik pulih barang-barang rosak, keempat pameran dan kelima penyebaran ilmu pengetahuan contohnya melalui seminar, forum, penerbitan dan program luaran.

Langkah untuk pastikan kebersamaan semua muzium mencapai visi dan misi?

Pertama, dasar dan polisi. Untuk makluman, kita sedang menuju ke fasa terakhir untuk melengkapkan draf Rang Undang-Undang (RUU) Akta Muzium di Parlimen pada tahun depan.

Kita akan memperkenalkan satu akta di mana ia memperlihatkan pengawalan muzium supaya mencapai satu standard sama.

Oleh itu untuk kebersamaan ini, kita perkenalkan satu akta, kedua akan mengeluarkan dasar dan polisi muzium dan ketiga mengambil banyak contoh berdasarkan kod etika pegawai muzium, dasar perolehan, dasar pameran, dasar pengurusan koleksi supaya ada kebersamaan. Sebagai contoh, kita jangan beli barang curi daripada pihak luar.

Strategi memajukan pemuziuman di negara ini?

Pertamanya, kita bercadang untuk menaik taraf Muzium Negara kerana kawasan ini adalah lokasi induk berbanding lain-lain muzium nasional yang ada di negara lain. Jadi kita cuba untuk menambah ruang pameran.

Kita juga ada strategi berdasarkan Pelan Strategik 2018-2022. Berdasarkan pelan itu, kita akan lihat bagaimana boleh menjadikan industri pemuziuman khususnya jabatan muzium ini menjadi lebih kompetitif dari segi kapasiti bangunan, pengetahuan, profesional dan kakitangan.

Dari segi kemudahan serta penggunaan teknologi maklumat, kita juga akan menaik taraf infrastruktur seperti repo­sitori muzium iaitu tempat me­nyimpan barang supaya tidak perlu menyewa kawasan lain serta menaik taraf makmal konservasi.

Transformasi dalam menarik minat lebih ramai pelawat berkunjung ke muzium?

Penjenamaan semula melalui aktiviti yang melibatkan penyertaan masyarakat. Sebagai contoh, merangka aktiviti bermalam di di setiap muzium di negeri masing-masing secara serentak.

Program satu hari ini mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Record (MBOR) sebanyak dua kali iaitu jumlah penyertaan terbanyak bermalam untuk program pendidikan serentak.

Pada 2016, kita libatkan 21 muzium dan menyaksikan penyertaan seramai 1,573 orang manakala 2017 melibatkan 23 muzium termasuk di Sabah dan Sarawak dan mendapat penyertaan seramai 1,595 orang.

Kita juga merancang mengadakan aktiviti menelurusi denai malam di tiga muzium pada tahun ini.

Manfaat penganjuran Hari Muzium Antarabangsa?

Hari Muzium Antarabangsa adalah aktiviti yang membuktikan kebersamaan, semua muzium peringkat persekutuan dan negeri akan mengadakan sambutan Hari Muzium Antarabangsa selama seminggu setiap tahun.

Tahun lepas, program berlangsung di Terengganu manakala pada tahun ini di Melaka. Pelbagai aktiviti dijalankan antaranya pameran, sukan, seminar dan forum serta hiburan sepanjang program berkenaan.

Menerusi program itu juga, kita di bawah naungan Persatuan Muzium Malaysia, akan membincangkan isu-isu semasa dan tahun ini bercadang membuat persidangan untuk membincangkan isu dan masalah yang berlaku di setiap muzium.

Pencapaian JMM dan statistik jumlah pelawat?

Antara pencapaian JMM adalah berjaya mengadakan pameran-pameran besar seperti Pameran Raja Kita, Pop Yeh-Yeh, Sukan SEA, Madu dan Racun, Fesyen dan Retro Saloma selain membuat pameran di negara China.

Kita juga mendapat MBOR menerusi aktiviti bermalam sementara muzium di Perak diiktiraf sebagai lima tempat terbaik yang menepati ciri-ciri program yang dilaksanakan di Jepun.

Jumlah pengunjung pula sentiasa bertambah dan mendapat sambutan. Untuk statistik pengunjung, kita telah mendapat 3,053,526 pelawat pada 2016 untuk 23 muzium manakala sehingga November 2017, kita berjaya mendapat 3,061,013. Bagi Muzium Negara pula, pengunjung dicatatkan sehingga November tahun lalu adalah 812,568 berbanding 643,399 yang disasarkan.

Harapan, nasihat dan panda­ngan JMM kepada umum sempena tahun baharu?

Jadikanlah muzium sebagai tempat untuk menimba pengetahuan. Jangan lihat muzium sebagai tempat berhantu dan menyimpan barang lama.

Kita perlu lihat muzium yang di dalamnya mempunyai falsafah pemikiran kerana tamadun yang baik ia mempunyai falsafah pemikiran tersebut.

Masyarakat perlu melihat muzium sebagai ejen perubahan yang mengimbangkan tentang pemodenan dan jati diri.

Oleh itu, di muzium inilah mereka dapat melihat kebangkitan sejarah. Kita takkan dapat menjadi satu bangsa kalau tidak kenal sejarah dan identiti.

Bila semua orang faham mengenai asal usul, hak dan perlembagaan, tidak akan berlaku pergaduhan dan budaya rasisme. Jadi, di sinilah muzium adalah sebagai ejen perpaduan.