Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad berkata, bilangan pengunjung ke muzium berkenaan sekadar merekodkan seramai 70 hingga 100 orang sahaja bagi tempoh sebulan.

Menurutnya, antara penambahbaikan kemudahan di lokasi itu perlu dilakukan seperti membuka laluan pintu baharu berdekatan Taman Botanikal selain menambah papan tanda dan penanda arah ke muzium berkenaan.

Katanya, muzium itu terletak berhampiran dengan kawasan tumpuan utama pelancongan di Ayer Keroh namun secara purata ia hanya menerima lima hingga tujuh pengunjung dalam sehari.

Beliau berkata, antara faktor yang dikenal pasti punca muzium ini kekurangan pengunjung adalah kurang pendedahan dan promosi serta papan tanda sekali gus menyukarkan pengunjung untuk mencari lokasinya.

“Bilangan pengunjung sebelum ini kebiasaannya mencatatkan 100 hingga 150 pengunjung sebulan namun sejak kedai kraftangan dipindahkan ke kawasan berhampiran tapak letak kereta di Taman Botanikal, pengunjung kian berkurangan.

“Justeru, kita mahu pihak pengurusan muzium ini untuk me- lakukan kerja naik taraf seperti meletakkan papan tanda dan penanda arah baharu yang lebih mudah dilihat untuk menarik lebih ramai pengunjung ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Muzium Orang Asli tersebut hari ini.

Ghazale berkata, muzium tersebut mempunyai keistimewaan dan keunikan yang tersendiri dan perlu dikekalkan sebagai tontonan oleh generasi akan datang.

Katanya, di Muzium Orang Asli itu terdapat sejarah dan susur galur keturunan masyarakat Orang Asli yang boleh dijadikan bahan ilmiah dan rujukan.

“Muzium yang diwujudkan oleh kerajaan negeri menerusi Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dibuka sejak 1997 yang mempamerkan cara hidup masyarakat dan adat resam Orang Asli.

“Tempat ini mempunyai nilai dan keunikan tersendiri seperti barangan dan peralatan yang agak sukar ditemui pada masa kini untuk dimanfaatkan oleh generasi muda dalam mengetahui cara hidup masyarakat yang berbilang budaya,” katanya.