Sumbangan sebanyak RM50 bagi setiap murid disumbangkan Pejabat Parlimen Pasir Gudang, manakala RM50 lagi disalurkan kerajaan menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). 

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd. Khalid berkata, PTPTN telah melaksanakan pelbagai program untuk menggalakkan penabungan bagi anak-anak di kalangan ibu bapa. 

Menurutnya, bermula Julai hingga Disember tahun ini, PTPTN turut menganjurkan Cabutan Bulanan menerusi Cabutan WOW! 20 Tahun PTPTN. 

“Menerusi program itu, murid tahun satu yang mempunyai simpanan RM50 berpeluang memenangi Cabutan Bulanan RM10,000, selain saguhati RM100 turut diberikan kepada 100 pendeposit setiap bulan. 

“Program ini merupakan inisiatif PTPTN dalam menggalakkan usaha penabungan demi pendidikan daripada usia muda,” katanya ditemui semasa menghadiri Program Back To School dan Penyampaian Sumbangan Pembukaan Akaun SSPN-i di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nam Heng, Seri Alam, dekat sini.

Program tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad. 

Normala berkata, PTPTN bakal meningkatkan lagi pelaksanaan program Geran Sepadan bermula tahun depan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2018, baru-baru ini.

“Bagi menggalakkan budaya menabung dalam kalangan rakyat, sebanyak RM250 juta diperuntukkan bagi 500,000 kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun. 

“Dalam program itu nanti, geran sepadan sebanyak RM500 akan diberikan kepada pendeposit yang mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM500,” katanya. 

Sementara itu, Normala memberitahu, kesemua murid terlibat turut menerima sumbangan dua pasang baju sekolah dan sepasang kasut. 

“Sumbangan pembukaan akaun SSPN-i ini bertujuan untuk meringankan beban dan menggalakkan sikap menabung dalam masyarakat kita,” katanya.