Rakan Kolaborasi Pelancongan di Pejabat Daerah, Chua Teck Boon berkata, karya keenam itu memiliki keunikan tersendiri apabila usaha tersebut merupakan projek mural pertama bermotifkan sejarah yang dipaparkan di Muar berbanding lima lukisan lain.

Menurutnya, unsur klasik yang diselitkan dalam mural bersaiz 17 meter tinggi dan 12 meter lebar itu adalah bagi menyampaikan mesej selain mendidik orang ramai untuk mengetahui asas kehidupan masyarakat terdahulu.

“Pementasan opera Cina adalah hiburan klasik yang telah bermula sejak zaman dinasti Tang yang dibawa ke Muar pada era 60-an, ketika itu kegemilangan pementasan opera te­rus terbukti dengan kehadiran penonton yang ramai untuk menyaksikannya.

“Justeru, sebagai mengimbau kembali sejarah orang-orang dahulu konsep ini dibawa semula dengan menerapkan elemen itu pada mural kali ini,” katanya ketika ditemui di lokasi mural tersebut di bangunan Persatuan Kwang Sui Hui Koon, di sini hari ini.

Lukisan mural yang menggambarkan solekan, pakaian dan gaya keseluruhannya yang sama digunakan seperti pelakon opera dahulu dihasilkan pelukis dari Taiwan, Huang Chong Wei.

Teck Boon berkata, kemajuan teknologi menyebabkan zaman pementasan opera mula dilupakan hinggakan hiburan tradisional itu tidak lagi diketahui generasi kini.

“Agak menyedihkan kerana anak muda khususnya kaum Cina sekarang sudah tidak me­ngenali hiburan klasik seperti ini, sedangkan nenek moyang mereka suatu ketika dahulu menjadikan ia sebagai tempat untuk mencari keseronokan.

“Justeru, bagi memudahkan penyampaian mesej dalam jiwa penonton, lukisan mural ini diaba­dikan di belakang bangunan persatuan berkenaan yang setinggi tiga tingkat kerana persatuan ini juga dahulunya merupakan penggerak utama pementasan opera,” katanya.