Kedua-dua atlet dari Persatuan Wusyu Melaka itu dipilih berdasarkan kecemerlangan mereka mewakili serta mengharumkan nama negara dan negeri dalam sukan tersebut hingga ke peringkat antarabangsa.

Penganugerahan itu membolehkan mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Selain itu, anugerah Olahragawan Harapan pula menjadi milik atlet olahraga, Badrul Hisyam Abdul Manap sementara seorang lagi atlet wusyu, Loh Ying Ting dipilih sebagai Olahragawati Harapan.

Bagi anugerah berpasukan pula, pasukan bola keranjang muncul Pasukan Lelaki Terbaik manakala pasukan polo air pula mengungguli kategori Pasukan Wanita Terbaik.

Dua anugerah khas turut diperkenalkan sempena majlis itu iaitu Anugerah Jurulatih Terbaik yang dimenangi jurulatih olahraga, Mohd. Fuad Kassim serta Anugerah Pengurus Terbaik menjadi milik pengurus pasukan wushu, Tan Poh Chuan dan pengurus pasukan bola keranjang, Datuk Tan Kang Yong.

Majlis penghargaan kepada penggiat sukan negeri itu turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan isterinya, Datin Seri Fadilah Abdullah.

Yang hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Naim Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim.

Sementara itu, Idris dalam ucapannya berkata, anugerah sukan itu wajar diteruskan bagi menghargai kejayaan atlet yang telah menaikkan nama Melaka di arena sukan di pelbagai peringkat.

Katanya, kualiti pencapaian perlulah dipertingkatkan dari semasa ke semasa agar atlet dari negeri ini mampu bersaing dengan kuasa sukan negara seperti Terengganu, Kuala Lumpur dan Selangor.

“Saya berharap mereka yang tidak terpilih akan terus berusaha memajukan diri masing-masing agar mampu mencapai kejayaan diinginkan dan kepada yang telah berjaya, teruskan usaha untuk lebih cemerlang seterusnya mengangkat imej negeri berada di tempat sewajarnya,” katanya.

Beliau turut berharap program pembangunan sukan yang dikendalikan Majlis Sukan Melaka dapat diperluaskan kerana dilihat membantu serta memberi sumbangan besar kepada kemajuan sukan negeri.