Seiring dengan usia penubuhannya iaitu menginjak 34 tahun, MTA mempunyai pengalaman dalam mengurus atur pelbagai program pelancongan bagi memastikan ia dapat memberi impak kepada usaha menarik lebih ramai pelancong ke negeri bersejarah ini.

Wartawan Utusan Malaysia, SUFFIAN ABU BAKAR berpeluang menemu bual, Presiden MTA, MADELINA KUAH mengenai  cabaran serta keyakinannya untuk  terus berusaha membantu mempromosikan negeri itu. Ini termasuk  menjalinkan hubungan dengan beberapa negara ASEAN dalam mencapai hasrat ini.

UTUSAN Malaysia: Boleh puan jelaskan peranan yang dimainkan oleh MTA dalam membantu kerajaan ne-geri mempromosikan pelancongan di Melaka?

MADELINA: MTA adalah sebuah badan yang diwujudkan untuk menghimpunkan semua pemain pelancongan di negeri ini yang meliputi pengusaha hotel, tempat pelancongan, pengusaha tempat makanan yang popular, pusat beli-belah, pendidikan dan apa sahaja yang berkaitan dengan pelancong.

Kami dilantik menerusi satu jawatan­kuasa yang dipilih setiap tiga tahun sekali .

Exco terdiri da­ripada pe­mim­pin pe­main-pemain pelancongan utama me­libatkan semua agensi di Melaka termasuk Bahagian Pro­mo­si Pelancongan (B­­PP),­ Perbada­nan Pem­ba­ngunan Sungai dan Pantai Me­laka (PPSPM), Perbada­nan Kemajuan Negeri Me­laka (PKNM), The Shore, Mahkota Parade, Menara Taming Sari dan sebagainya.

Kami semua ber­ga­bung de­ngan Pe­jabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (Motac) dalam menganjurkan pelbagai aktiviti antara­nya pa­meran dan promosi pelanco­ngan di dalam dan lu­ar negara.

Boleh kongsikan mengenai tarikan yang ada di negeri Melaka ?

Melaka dibahagikan kepada 12 sub sektor di mana tarikan sub itu meliputi pelbagai aspek yang ada di Melaka iaitu sejarah, budaya, rekreasi, sukan, membeli-belah, konvensyen, kesihatan, pendidikan, agro, makan-makan, Melaka rumah keduaku dan belia.

Kami menyedari bahawa pe­lancongan di Melaka berkembang dengan agresif dan berharap MTA dapat memainkan peranan dalam usaha mempromosikan produk pelancongan ini.

MTA mempunyai kekuatan keahlian le­bih daripada 87 pelawat, perniagaan dan orga­nisasi pelancongan di Melaka termasuk agensi pelanco­ngan, hotel, taman tema, restoran dan agensi pemba­ngunan ekonomi.

Bagaimana pelancong dapat memainkan peranan membantu ekonomi sesebuah lokasi ke arah pemodenan dan kesannya terhadap warisan Melaka?

Pelancong tertarik dengan aktiviti pemodenan yang berlaku di Melaka dan pada masa yang sama juga mereka ingin melihat warisan dan kesan sejarah terus terpulihara.

Untuk itu MTA memainkan pe­ranan bekerjasama dengan ke­rajaan negeri mengekalkan wa­risan sejarah dan pada masa yang sama memastikan negeri ini terus berkembang sebagai lokasi tarikan pelancong seluruh dunia.

Sebagai pelancong mereka perlu memberi sokongan terhadap usaha yang dilakukan bagi memastikan lokasi pelancongan itu terus mendapat sambutan sebagai contoh, usaha kerajaan ne­geri mengekalkan keindahan dan warisan tempat bersejarah.

Adakah Melaka destinasi selamat untuk dikunjungi pelancong?

Melaka menerima lebih daripada 16 juta pelancong pada tahun 2016 dan untuk tahun ini kerajaan negeri menyasarkan kehadiran lebih 17 juta dan sudah pasti kawalan keselamatan dan kesiapsiagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengawal ke­selamatan pelancong di negeri ini dipertingkatkan.

MTA yakin PDRM sentiasa me­ningkatkan pemantauan me­reka terhadap tahap keselamatan di negeri ini bagi memastikan imej negeri pelancongan yang mene­rima ribuan pelancong setiap hari terjaga serta tidak tercemar de­ngan kejadian tidak diingini.

Apakah lokasi pelancongan berkualiti di pusat bandar raya Melaka yang ingin diper­kenalkan oleh MTA?

Kami mencadangkan kepada pelancong untuk mencuba menaiki bot di Sungai Melaka. Berjuta-juta pengunjung telah melalui pengalaman menaiki Melaka Ri­ver Cruise dan menyatakan mereka gembira dengan pengalaman baharu ini kerana di sepanjang sungai terdapat rumah-rumah kedai lama yang indah dengan lukisan unik pada dinding.

Pada pandangan anda adakah usaha menarik pelancong ke Melaka sudah berjaya?

Setakat ini kehadiran pelancong melebihi sasaran setiap tahun membuktikan bahawa pelaksanaan kerajaan negeri untuk menggalakkan jumlah kedata­ngan pelancong cukup berjaya. Apa yang perlu dilakukan oleh kami di MTA adalah memperkemas dan te­rus membantu bagi memastikan pelancong mendapat maklumat yang tepat dan mencukupi.

Akhir sekali apa harapan puan kepada sektor pe­lancongan di Melaka?

Seperti mana yang se­ring di­tekankan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, tidak sah berkunjung ke Malaysia jika tidak melawat Me­laka, MTA juga mempu­nyai hasrat untuk terus diberi peranan dan tanggungjawab membantu kerajaan negeri menarik minat pelancong datang ke negeri ini.

Jika boleh kami juga ingin dilibatkan sebagai ahli majlis dalam pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk sama-sama melontarkan idea membentuk dan merancang pe­ningkatan usaha menarik pelancong dalam dan luar negara berkunjung ke negeri ini.