Masakan tidak, kita ba­nyak menghabiskan masa di luar rumah terutama waktu yang terbuang sia-sia dalam ke­sesakan jalan raya pada waktu pagi dan berdepan masalah sama ketika pulang bekerja di sebelah petang.

Masuk kerja pukul 9 pagi, ramai yang keluar rumah selewat-lewatnya pukul 7 pagi bagi mengelak daripada lambat tiba di pejabat. Demikian pula halnya pada waktu habis kerja, pulang pukul 5 petang belum tentu sampai di kediaman pada 7 petang.

Situasi ini bukan perkara baharu sejak lebih sedekad lalu kerana seiring pelebaran jalan dan pertambahan rangkaian lebuh raya, jumlah kenderaan baharu yang didaftarkan setiap tahun juga me­ningkat lebih tinggi.

Kerana itu juga, sesete­ngah warga kota memilih pengangkutan awam supaya tidak perlu sakit kepala tentang ansuran bulanan, kos bahan api, bayaran tol dan tempat letak kereta serta keperluan selenggaraan berkala.

Sekonyong-konyong ingatan mengimbas jawapan seorang lelaki yang ditemui tinjauan pengangkutan awam di KL Sentral 10 tahun lalu.

“Siapa bawa kereta sendiri memang gila. Pagi mahu pergi kerja sesak, masa kerja sesak, balik kerja sesak, balik rumah rehat tidak ada masa untuk anak,” katanya yang memilih untuk menaiki bas setiap hari.

Namun semuanya akan berubah dengan adanya Transit Aliran Massa (MRT) yang me­rupakan inisiatif terbaru dalam meningkatkan mobiliti penduduk di Lembah Klang terutama di sepanjang jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK).

Fasa 1 MRT SBK dari Sungai Buloh-Semantan yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Disember lalu juga sema­kin mendapat tempat di hati warga kota dengan kira-kira 210,000 pengguna dicatatkan dalam minggu pertama.

Jumlah itu membuktikan penerimaan serta keterujaan terhadap dan ia dijangka me­ningkat sepanjang tempoh percuma hingga 17 Januari depan, seterusnya menjadi mod pengangkutan utama apabila Fasa 2 Semantan-Kajang beroperasi Julai 2017.

Sasaran pengurangan kira-kira 160,000 buah kereta di jalan raya Lembah Klang pada tahun hadapan mampu dicapai memandangkan MRT mampu mengangkut 400,000 penumpang setiap hari de­ngan kekerapan 3.5 minit dan kapasiti 1,200 penumpang pada satu-satu masa.

Bagaimanapun, semua ini sia-sia jika ramai daripada warga kota masih enggan berubah sikap dan berdegil mahu menggunakan kende­raan sendiri ke tempat kerja.

Setiap kawasan kejiranan perlu mengamalkan berkongsi kereta untuk ke stesen MRT memandangkan terdapat 14 kemudahan tempat letak kereta de­ngan 8,000 petak.

Kenderaan sendiri bukan lagi keutamaan bagi lepasan universiti selepas ini sekali gus merealisasikan pengurangan kenderaan, perjalanan lebih pantas dan produktiviti lebih baik malah mereka boleh memberi tumpuan mendapatkan aset harta berdekatan stesen MRT.