Ketua Bahagian Kesihatan MPAJ, Dr. Umi Kalsom Ariffin berkata, kedai-kedai berkenaan diarahkan tutup kerana pengusahanya telah melanggar beberapa syarat termasuk didapati kotor.

"Tindakan mengarahkan kedai makanan tersebut ditutup adalah disebabkan setelah pemeriksaan dijalankan mendapati markah yang diperolehinya kurang daripada 50 peratus.

"Daripada pemeriksaan yang dijalankan ada juga di antara pekerja premis terbabit tidak mempunyai suntikan Typhod TY2," katanya kepada wartawan selepas tamat operasi.

Tambahnya, selain itu, sebahagian pekerja restoran berkenaan juga tidak memiliki Sijil Kursus Pengendalian Makanan serta tidak memakai apron, topi dan kasut sewaktu bekerja.

Kesalahan-kesalahan lain yang dilakukan oleh pengusaha restoran berkenaan ialah membiarkan kawasan premisnya termasuk longkang dalam keadaan kotor dan dipenuhi sisa makanan.

"Ada restoran yang tidak memasang perangkap minyak pada sink antara kriteria yang mengurangkan peratus markah kedai tersebut," katanya.

Menurut Umi Kalsom, selain itu ada di antara premis berkenaan juga terdapat serangga seperti lipas yang boleh mendatangkan penyakit kepada pengunjung kedai terbabit.

Menurutnya, kesemua restoran berkenaan telah diberi notis memberhentikan operasi selama 14 hari atau selepas MPAJ berpuas hati dengan tahap kebersihannya.

"Sekiranya, ada di antara mereka ingkar dengan notis pemberhentian operasi, mereka boleh didakwa kerana ingkar perintah dan boleh dikenakan denda maksimum RM20,000," katanya.

"Kebenaran untuk membuka semula restoran juga perlu disertakan dengan salinan sijil atau resit daripada mana-mana syarikat kawalan serangga.

"Ini adalah untuk dijadikan bukti pengawalan serangga telah dijalan oleh premis-premis itu," katanya.