Peningkatan itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Hussin Mohd. Ali yang menyatakan faktor pertambahan berkenaan antaranya berpunca daripada peningkatan kos semasa ketika ini yang memberi kesan kepada kemampuan kewangan isi rumah yang berpendapatan 40 peratus terendah (B40) iaitu RM3,855 sebulan.

Selain itu katanya, pertambahan permohonan bantuan zakat itu turut didorong dengan pe­ningkatan penghijrahan warga dari negeri lain ke Selangor untuk mencari rezeki.

“Dalam masa sama, faktor seperti kehilangan pekerjaan, hilang tempat bergantung akibat kematian, pengabaian nafkah serta masalah kesihatan merupakan antara sebab pertambahan permohonan bantuan zakat meningkat,” katanya selepas majl­is penyerahan bayaran zakat oleh Lembaga Tabung Haji dan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) kepada Sultan Se­langor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Penyerahan bayaran zakat untuk tahun kewangan berakhir 2016 itu dipersembahkan kepada bagin­da oleh Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani membabitkan jumlah RM15.1 juta manakala Bank Islam diwakili Pe­ngarah Urusannya, Datuk Seri Zukri Samat melibatkan bayaran zakat sebanyak RM1.3 juta.

Dalam pada itu, Hussin turut menyatakan pihaknya me­nyasarkan bayaran zakat sebanyak RM700 juta pada tahun ini iaitu peningkatan sebanyak RM26.3 juta berbanding tahun lalu.

Menurutnya, sasaran tersebut diyakini dapat dicapai memandangkan bayaran zakat pada tahun lalu berjaya mencatatkan jumlah RM673.7 juta iaitu mele­bih sasaran ditetapkan RM645 juta untuk tahun yang sama.