MOHD. ARIFIN MOHD. ARIF

Usaha itu antara lain bertujuan memastikan kelestarian hidup rakyat selain meningkatkan sosial ekonomi dan pembangunan senada dengan zaman masa kini.

Namun, tugas wakil rakyat bukan suatu yang mudah, bahkan memerlukan iltizam yang penuh untuk memastikan suara rakyat diangkat ke tahap yang lebih tinggi.

Wartawan Utusan Malaysia, FAUZI SUHAIMI bersama jurufoto, NORMIMIE DIUN menemu bual penyandan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut, DATUK MOHD. ARIFIN MOHD. ARIF yang mahu membawa pembangunan pendidikan dan ilmuan, sekali gus menjadikan Parlimen Kimanis hab pendidikan utama Sabah.


UTUSAN MALAYSIA: Sepanjang tempoh lima tahun ini, apakah yang telah Datuk Mohd. Arifin lakukan untuk membangunkan kawasan Membakut?

DATUK MOHD. ARIFIN: Bukan sahaja sejak lima tahun lalu, malah sejak BN diberi mandat mentadbir kawasan ini, pelbagai pembangunan telah dibawa untuk rakyat, ter­utamanya pembangunan fizikal.

Bermula dengan kawasan pedalaman yang dipenuhi hutan, kini kawasan ini semakin pesat membangun dan apa yang penting pelbagai kemudahan infrastruktur telah disediakan untuk kegunaan semua pihak khususnya masyarakat setempat.

Sehingga hari ini, pelbagai kemudahan dibangunkan se­perti perpustakaan, sekolah yang lebih moden, pusat perniagaan dan keusahawanan dan sebagainya.

Sudahkah Datuk tunaikan janji-janji dalam PRU-13 kepada pengundi?

Falsafah BN adalah melihat kepada manifesto yang diberikan dalam pilihan raya adalah sebuah aku janji yang perlu ditunaikan.

Oleh yang demikian, semua aku janji yang diberikan wajib ditunaikan dan pada saya ia bukan hanya tertumpu kepada perkara yang dibawakan ketika itu sahaja. Sebaliknya jika ada perkara lain yang perlu dilaksanakan, meskipun tidak terkandung dalam manifesto, ia tetap dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

Bolehkah Datuk nyatakan apa aspirasi di Membakut untuk lima tahun akan datang?

Kerajaan berhasrat untuk menjadikan kawasan Kimanis sebagai hab pendidikan negeri. Sudah tentu saya menyahut seruan itu untuk merealisasikan matlamat tersebut.

Dengan itu, fokus terhadap pembangunan ilmuan dan pendidikan menjadi keutamaan dalam tempoh terdekat bagi memastikan sasaran untuk menjadi hab pendidikan negeri dapat dicapai.

Oleh yang demikian, pelbagai usaha giat dilakukan antaranya adalah untuk menubuhkan kolej komuniti, kolej profesio­nal Mara, Institut Tahfiz Sabah serta kemudahan dalam hab pendidikan dan ilmuan lain.

Apakah agenda pembangunan yang menjadi keutamaan di kawasan Datuk?

Saya melihat aspek pendidikan merupakan agenda utama yang perlu diberi perhatian yang serius. Ini kerana, menerusi pendidikan, kita boleh lahirkan modal insan yang cemerlang dan mempunyai pemikiran kelas pertama.

Selain itu, pendidikan juga boleh mengubah gaya hidup masyarakat sekali gus mampu membina ketamadunan yang boleh membawa kepada kemajuan sejagat.

Apakah harapan dan saranan terhadap rakyat?

Saya berharap agar rakyat dapat menilai kesungguhan kerajaan BN dalam membawa pembangunan negara setan­ding negara lain tanpa meminggirkan nasib dan hak rakyat.

Berdasarkan rekod BN juga, ia secara tidak langsung mampu meletakkan keyakinan penuh kepada rakyat untuk terus menyokong khususnya pada 9 Mei ini.

Besar harapan kami untuk mendapat mandat sekali lagi daripada rakyat agar segala usaha yang dilaksanakan sehingga hari ini dapat diteruskkan untuk kepentingan semua pihak khususnya rakyat.