Kampus Rembau merupakan kampus keempat yang dibuka di bawah pentadbiran dan pengurusan UiTM Cawangan Negeri Sembilan (UiTMCNS) selepas Kampus Melang (1999), Kampus Kuala Pilah (2009) dan Kampus Seremban 3 (2014).

Kampus Rembau memulakan operasi secara rasmi pada 1 Febuari tahun lalu dan kini genap setahun penubuhannya.

Menyingkap pembangunan UiTM Negeri Sembilan terutama kampus Rembau, Wartawan Utusan Malaysia, DIANA AZIS menemu bual Rektornya, PROF. DR. NASRUDIN MOHAMMED.


UTUSAN:Selepas kira-kira setahun, bagaimanakah perjalanan operasi UiTM Rembau?

PROF. DR. NASRUDIN MOHAMMED: Kampus Rembau me-rupakan cawangan baharu UiTM yang dibina di bawah strategi Inisiatif Pembiayaan Swasta dan merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Sebagai sebuah institusi pendidikan, kami menitikberatkan kemudahan serta keperluan warganya terutama pelajar.

Di kampus Rembau, kemudahan kolej kediaman disediakan kepada pelajar dengan masing-masing berkapasiti 1,000 untuk siswi dan 500 siswa disamping kemudahan dewan serbaguna, medan selera dan kafeteria.

Selain itu, pelajar turut disediakan dengan kemudahan akses pengangkutan serta capaian internet di kawasan kampus.

Apakah cabaran-cabaran da­lam menguruskan sebuah kampus baharu?

Kita mengambil perhatian dan sedia maklum mengenai persepsi ibu bapa terhadap potensi UiTM Rembau yang boleh direbut oleh anak masing-masing.

Mengambil kira lokasi kampus yang jauh dari bandar dan kekurangan kemudahan awam sekali gus memberi kebimba­ngan kepada golongan berkenaan untuk membenarkan anak mereka menyambung pengajian di cawangan tersebut.

Mereka mengharapkan akses pengangkutam awam, capaian internet serta kemudahan pe-nempatan dapat diberi perhatian khusus oleh pihak universiti bagi memastikan pelajar tidak berhadapan dengan isu kekurangan kemudahan asas di masa akan datang.

Kami melihat cabaran untuk menyediakan segala keperluan dan kemudahan ini sebagai pemangkin dalam usaha menambah baik sistem pengurusan UiTM Rembau.

Apakah objektif dan matlamat penubuhan UiTM Rembau dan kursus-kursus yang ditawarkan?

Seperti sedia maklum, kampus ini menawarkan tiga program iaitu Pengurusan Perniagaan merangkumi kursus Diploma Pengajian Perniagaan dan Diploma Pengajian Perbankan; Pengurusan Maklumat (Diploma Pengurusan Maklumat dan Sarjana Muda Sains Maklumat Pengurusan Perpustakaan) serta Komunikasi dan Pengjian Maklumat (Diploma Komunikasi dan Pengajian Maklumat dan Sarjana Muda Komunikasi Massa Penyiaran).

Melalui kesemua program ini kami mengharapkan graduan UiTM Rembau mampu meme-nuhi keperluan industri sete-rusnya kebolehpasaran mereka meningkat.

Apakah keistimewaan UiTM Rembau dan bentuk graduan yang ingin dilahirkan?

Bertepatan dengan pembangunan lembah ilmu yang dperkenalkan oleh kerajaan Negeri Sembilan yang mahu merealisasikan negeri ini sebagai hab pendidikan, kewujudan UiTM kampus Rembau adalah yang terbaik dan tepat pada masanya.

Selepas satu tahun, kita sudah melihat beberapa perkemba­ngan positif dari segi pelajar serta peluang pendidikan tinggi untuk masyarakat setempat selain pe­ningkatan taraf ekonomi penduduk Rembau.

Maka dalam masa dua atau tiga tahun akan datang, akan bertambah penempatan untuk pelajar selain hubungan kemasyarakatan setempat akan lebih luas di samping beberapa perkembangan positif dalam penyediaan peluang pendidikan tinggi.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), bagaimana pe­ngurusan UiTM Negeri Sembilan memastikan tiada pelajar institut ini terlibat dalam agenda politik negatif?

Bagi memastikan pelajar tidak terlibat secara langsung terhadap agenda politik negatif menjelang PRU-14, pihak pengurusan akan sentiasa menggunakan pendekatan berhemah dan telus dalam mencampuri pendirian peribadi pelajar namun pada masa sama, kita sentiasa berwaspada dan memantau penglibatan pelajar.

Perancangan jangka panjang untuk UiTM Rembau?

Kita mahu memantapkan pembangunan sumber manusia di Negeri Sembilan kerana fokus kerajaan negeri yang menjadikan negeri ini sebagai lembah ilmu memberi platform mudah untuk UiTM merealisasikannya.

Justeru bagi membantu kerajaan negeri yang selama ini sentiasa menyokong pembangunan UiTM, kita akan menambah beberapa program bukan sains ke kampus Kuala Pilah dan Rembau untuk merancakkan lagi pembangunan sosial masyarakat.

Selain itu, kita akan membuat pertukaran beberapa program sedia ada antara kampus Rembau dan Kuala Pilah bagi melengkapi keperluan antara kedua-dua kampus pada masa akan datang.

Harapan pihak pengurusan UiTM?

Mengetuai ketiga-tiga ca­wangan UiTM di negeri ini, saya mengharapkan semua warga kampus termasuk kakitangan sentiasa komited dalam tugas dan amanah masing-masing.

Kita perlu sedar dan sentiasa mengutamakan pembangunan anak bangsa kerana itu adalah amanah yang dipertanggungjawab untuk membimbing potensi mereka pada masa depan. Kerjasama serta kefaha­man ibu bapa pelajar mengenai kemudahan serta fasiliti di setiap kampus juga amat diharapkan dan sentiasa cuba memberikan yang terbaik untuk mereka.