Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam) merupakan salah satu agensi kerajaan negeri yang dipertanggungjawabkan untuk melahirkan masyarakat celik ilmu dan untuk itu pelbagai usaha sudah pasti telah dilaksanakan dan dirancang bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Pengarah Perpustam, MOHAMED AIZAMMUDDY MOHAMED IDRIS ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, SUFFIAN ABU BAKAR dan jurugambar MOHD. AZIM ABD. RAHMAN baru-baru ini mengakui, perbadanan itu telah dan merancang pelbagai aktiviti di peringkat negeri serta turut serta dalam program peringkat kebangsaan Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit yang diadakan bagi menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan penduduk negeri itu.

Beliau turut memaklumkan hala tuju dan perancangan Perpustam untuk menjadi pembekal ilmu pengetahuan kepada masyarakat Melaka serta usaha yang akan dilaksanakan untuk mewujudkan amalan membaca dalam kalangan rakyat negeri Melaka.


Boleh ceritakan peranan Perpustam dalam membantu usaha menggalakkan budaya membaca?

MOHAMED AIZAMMUDDY: Per­pustam mempunyai seramai 178 orang tenaga kerja yang berperanan penting dalam memberikan perkhidmatan maklumat kepada seluruh penduduk negeri Melaka melalui 68 buah rangkaian perpustakaan.

Perkhidmatan yang terletak di seluruh Melaka ini meliputi Perpustakaan Negeri, Cawa­ngan, Komuniti, Pekan, Desa Perpustakaan Negeri, Desa Perpustakaan Negara Malaysia, Bas Bergerak dan E-Pustaka.

Perpustam berperanan melalui semua rangkaian tersebut dengan menyediakan bahan maklumat dan rujukan terkini serta menjalankan program dan aktiviti yang bersesuaian bagi menggalakkan budaya membaca masyarakat di negeri ini.

Menjejak usia 136 tahun, apakah aktiviti atau program terbesar Perpustam khusus­nya dalam bidang bacaan?

Sejak tahun 1881, perpustakaan awam bertapak di ne­geri Melaka, saya percaya ke­pimpinan terdahulu dan akan datang mempunyai matlamat yang sama dalam membantu masyarakat negeri ini untuk mencintai ilmu, maklumat dan bahan bacaan dengan merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian ke arah melahirkan masyarakat negeri Melaka yang berbudaya membaca, berilmu dan bermaklumat.

Sudah tentu aktiviti atau program berskala besar yang memberikan impak positif kepada seluruh masyarakat di negeri Melaka menjadi kemestian dalam perancangan aktiviti galakan membaca oleh pihak Perpustam dengan melibatkan penyertaan semua golongan dari kanak-kanak, belia, dewasa dan juga warga emas.

Berapa jumlah bahan bacaan yang terdapat di Perpustam dan apa pengisian moden yang disediakan?

Selaras dengan pusat pe­ngumpulan bahan maklumat, Perpustam mempunyai koleksi bahan bacaan yang merangkumi bahan bercetak juga bahan tidak bercetak. Sehingga kini terdapat 1 juta koleksi bahan bacaan dan koleksi buku sahaja seba­nyak 750,905 naskhah di seluruh rangkaian Perpustam.

Pengisian moden disediakan untuk masyarakat dengan menggunakan sistem sepenuhnya dalam urusan keahlian, sirkulasi dan pencarian bahan, Perkhidmatan komputer dengan talian internet, penggunaan iPen, iPad, iMac, Tablet, Kindle, Wii Gaming, X-Box dan juga Tayangan 3D.

Apa perancangan untuk memajukan Perpustam?

Dalam tempoh terdekat, Perpustam akan menyertai konsortium Perkhidmatan U-Pustaka yang memberi perkhidmatan kepada masyarakat untuk tujuan peminjaman, pemulangan, pe­nempahan dan pembaharuan bahan bacaan pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Perpustam juga berhasrat untuk menekankan konsep perpustakaan digital atau perpustakaan maya kepada masyarakat di negeri Melaka dengan meningkatkan perkhidmatan internet dan wifi, menambahkan koleksi pangkalan data, e-Book serta pinjaman dan pemulangan bahan secara dalam talian.

Bagaimana penerimaan ma­syarakat berhubung pembaharuan yang dibawa?

Konsep pusat sehenti utama yang diterapkan menerima maklum balas positif daripada masyarakat yang ingin mendapatkan perkhidmatan maklumat dan rujukan, ingin bersantai, ingin berhibur dan ingin sihat boleh di dapati di Perpustam khusus­nya diperpustakaan ne­geri.

Sejak tiga tahun kebelakangan ini kita menerima pertambahan kehadiran dari segi pengunjung perpustakaan dan Alhamdullilah pada tahun lalu buat pertama kalinya kita berjaya mencapai sasaran 700,000 pengunjung dengan mencatat seramai 732,314 orang yang hadir menggunakan per­khidmatan di seluruh rangkaian Perpustam.

Apa cabaran yang dihadapi dalam usaha mewujudkan masyarakat membaca?

Setiap perkara yang membawa kepada kebaikan pasti ada cabarannya dan begitu jugalah usaha untuk mewujudkan masyarakat membaca. Cabaran yang paling utama sekali adalah kaedah untuk kita mengubah sikap dan minda mereka untuk membaca. Semangat yang murni ini harus lahir daripada hati kecil setiap individu dengan keinginan yang jitu dan mereka harus faham akan manfaat dan faeda­h­ yang diperolehi dan bukannya dipaksa.

Perpustam akan sentiasa berada dekat dengan masyarakat dan kerap mengamalkan konsep ‘turun padang’ untuk memper­kenalkan perkhidmatan yang ditawarkan dan menjalankan pelbagai aktiviti untuk menyemai sikap dan mengubah budaya masyarakat untukmembaca. Golongan kanak-kanak lebih difokuskan kerana mudah membentuk golongan ini untuk cintakan membaca, namun masih memerlukan sokongan penuh ibu bapa dan masyarakat sekeli­ling.

Apakah harapan Perpustam untuk membantu menjadikan rakyat berilmu?

Masyarakat diseru untuk mengambil bahagian di dalam semua program dan aktiviti yang ditawarkan agar mendapat manfaat bersama sejajar dengan slogan kempen membaca Perpustam iaitu Masyarakat Membaca, Masyarakat Sejahtera.

Perpustam juga mahu melahirkan masyarakat yang mempunyai minda kelas pertama yang mengambil tempat sebagai rakyat di negeri Melaka Maju Fasa Kedua dan menjadi penggerak kepada wawasan 2020 yang bakal tiba serta menjadi akar dan tunjang kepada Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan Transformasi Melaka 2050.