Pegawai Penerangannya, Yusaini Ali berkata, misi tersebut yang turut mendapat kerjasama daripada Pusat Tuisyen Akademik Karisma di Kelantan merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menjayakan misi kemanusiaan, sekali gus memperkukuhkan keberkesanan usaha bagi membantu golongan yang memerlukan.

Beliau berkata, projek bertemakan Pensel, Bukan Senjata yang diperkenalkan yayasan itu bertujuan menyumbang keperluan pendidikan terutamanya kepada kanak-kanak jalanan, selain sumbangan makanan dan perubatan.

“Walaupun sebatang pensel, kita mahu galakkan pelajar bersama-sama memberi bantuan ini termasuklah pensel atau pema­dam yang tidak mahu digunakan.

“Keperluan pendidikan kanak-kanak ini begitu penting. Pensel sebagai simbolik mengenai kepentingan pendidikan dalam kalangan generasi muda bagi sesebuah negara atau masyarakatnya untuk bangkit dan membina masa depan yang lebih cerah, sekali gus membawa perubahan kepada mereka yang lebih memerlukan,” katanya selepas merasmikan Kempen Pensel, Bukan Senjata di Sekolah Menengah (SM) Teknik Johor Bahru, di sini semalam.

Yang turut hadir, pengetua sekolah tersebut, Jasni Ismail. Pada majlis itu, SM Teknik Johor Bahru turut menyumbang wang tunai berjumlah RM1,097.

Yayasan berkenaan berharap lebih banyak syarikat korporat dan orang awam memberikan sumbangan untuk menjayakan misi itu dan maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi talian 09-7477077 atau melayari laman Facebook helpkarismakhom atau menyalurkan terus ke dalam akaun CIMB bernombor 7620869900 atas nama Nik Marina Hussin.