MOHAMED KHALED NORDIN

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Dekad Baharu Johor diperkenalkan kerajaan negeri bermatlamat untuk membangunkan negeri ini menjadi negeri paling membangun dan sejahtera dalam tempoh 10 tahun.

“Sudah pastilah segala dasar dan agenda pembangunan yang dirancang oleh kerajaan negeri mengambil kira keserasian dan kesesuaiannya dengan dasar dan agenda besar di peringkat nasio­nal, begitu jugalah dengan gagasan Dekad Baharu Johor ini.

“Ia adalah selari dan menyantuni aspirasi-aspirasi yang terkandung dalam Wawasan 2020 dan TN50,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Azahar Ibrahim (BN-Tenang) sama ada Dekad Baharu Johor selari dengan agenda-agenda nasional seperti Wawasan 2020 dan TN50.

Mohamed Khaled berkata, misi baharu yang diperkenalkan pada pembentangan Bajet Johor 2018 penghujung tahun lalu itu adalah selari dengan aspirasi yang terkandung dalam Wawasan 2020 dan TN50 terutama mengikut beberapa perspektif.

Katanya, pertama, ia merupakan satu perancangan dan agenda masa depan dimana ia bukan sekadar satu gagasan yang bertujuan untuk mendepani cabaran hari ini tetapi mengambil kira cabaran dan konteks masa hadapan.

“Kedua, seperti mana Wawasan 2020 dan TN50, Dekad Baharu Johor menjadikan pembangunan prasarana dan pemba­ngunan kapasiti manusia sebagai teras yang penting.

“Ini merupakan satu persamaan dan keserasian yang sangat jelas. Dekad Baharu Johor meletakkan pemberat yang pen­ting dalam usaha melengkap dan memantapkan prasarana serta kemudahan awam, sama seperti yang dihujahkan dalam sembilan cabaran Wawasan 2020 serta TN50,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, ketiga, Dekad Baharu Johor memberi perhatian yang besar kepada teknologi, globalisasi dan dunia digital di mana dengan menjadikan perkembangan teknologi dan cabaran globalisasi sebagai satu perkara yang harus didepani secara terbuka dan berkesan.

Keempat, katanya, Dekad Baharu Johor, sama seperti Wawasan 2020 dan TN50, amat peka dan meletakkan pertimbangan yang sensitif kepada aspek budaya dan warisan tempatan.