Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, industri permotoran merupakan trend masa kini yang sering menjadi pilihan semua golongan tidak kira umur, status pekerjaan dan taraf hidup.

Menurutnya, bidang permotoran ini bukanlah pencetus kepada masalah sosial pada hari ini sebaliknya ia adalah salah satu aktiviti yang membantu menghindar golongan muda daripada terlibat dengan kegiatan tidak berfaedah seperti lumba haram, ragut dan sebagainya.

"Kita dapat lihat mereka bergerak secara berkumpulan menjadikan hujung minggu terisi dengan aktiviti riadah yang lebih bermanfaat dan bukannya membazir masa dengan berlumba atau membuat aktiviti tidak sihat.

"Sehubungan itu, saya berharap aktiviti permotoran seperti ini dapat diteruskan dan menjadikannya acara tahunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Motosikal Antarabangsa Melaka 2016 di Litar Permotoran Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh, di sini.

Jelas Idris, pelbagai manfaat dapat diperolehi dengan me­­nyer­tai aktiviti yang dianjurkan malah ia mampu memenuhi jadual golongan muda.

Katanya, aktiviti bermotosikal seperti diadakan ini tidak salah selagi individu yang menyertai-nya faham dan tahu batasan atas setiap perkara dilakukan.

Malah, banyak program yang dilaksanakan ahli kumpulan permotoran ini menjurus ke arah kebaikan termasuk mengadakan tunggangan amal mengumpul dana membantu golongan sasar.