Ini kerana Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengumumkan ‘hadiah’ istimewa bagi rakyat negeri ini sempena sam­butan rasmi Hari Keputeraan ba­ginda pada keesokannya.

Hadiah berkenaan adalah usaha murni menerusi Yayasan Sultan Ibrahim (YSI) dan syarikat berkaitan kerajaan negeri, Johor Corporation (JCorp) dengan kerja­sama Bank Rakyat untuk membina Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) di tiga kawasan di bandar raya ini, iaitu Bandar Dato' Onn, Kampung Melayu Majidee dan Bukit Saujana.

Nyata majlis pra-pelancaran RIBJ mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat negeri ini apabila pusat beli-belah [email protected] yang menjadi lokasi majlis diserbu kira-kira 10,000 orang.

Beberapa jalan utama menuju ke lokasi berke­naan sesak teruk sejak pukul 11 pagi walaupun majlis hanya bermula pukul 2.30 petang.

Sungguh hebat sambutan orang ramai. Apa tidaknya apabila rakyat negeri ini dimaklumkan berpeluang untuk memiliki sebuah banglo pada harga kira-kira RM100,000.

Keprihatianan dan usaha gigih berterusan kerajaan negeri di bawah naungan Sultan Ibrahim dan diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin wajar diberi pujian dan menjadi contoh kepada semua pihak.

Usaha itu selaras dengan aspirasi kerajaan negeri yang pro rakyat dan mengutamakan kepen­tingan kebajikan masyarakat.

Namun, untuk nukilan kali ini, penulis ingin membawa semua pihak untuk meneliti isu perumahan rakyat ini daripada perspektif berbeza, iaitu apabila majlis prapelancaran RIBJ diserbu oleh rakyat negeri ini.

Penulis melihat, ini adalah mesej jelas bahawa rakyat amat 'dahagakan' dan kian 'terdesak' untuk mendapatkan rumah mampu milik bagi menjalani kehidupan yang lebih selesa bersama-sama keluarga masing-ma­sing.

Tidak dinafikan, usaha kerajaan negeri untuk membina 60,000 unit rumah mampu milik untuk rakyatnya yang berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman idaman mereka gigih dilaksanakan, namun hasrat itu tidak mampu dicapai tanpa kerjasama dan sokongan semua pihak termasuk pemaju swasta.

Pada masa ini, hanya segelin­tir pemaju, khususnya syarikat milik kerajaan yang bersama-sama berusaha gigih membina Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang diilhamkan oleh Menteri Besar sejak mengambil alih teraju kepimpinan negeri pada tahun 2013.

Pemaju swasta, masih ada yang ‘bersetuju’ hanya pada kertas sedangkan realitinya pembinaan RMMJ ‘dikemudiankan’ dan lebih gemar membina rumah mewah yang memberi keuntungan berlipat ganda.

Di mana tanggungjawab sosial korporat mereka? Adakah tanggungjawab sosial koporat itu ha­nya cukup dengan memberi sumbangan atau bantuan beg sekolah dan barangan keperluan kepada sebilangan rakyat yang memerlukan sedangkan telah mengaut jutaan, malah bilion daripada projek-projek yang dilaksanakan selama ini.

Mungkin kini sudah tiba masanya kerajaan bersikap lebih tegas terhadap syarikat perumahan dengan mewajibkan beberapa peratus pembinaan RMMJ dilaksanakan serentak dengan pembinaan rumah mewah supaya misi menyediakan 60,000 unit rumah dapat dicapai seperti yang disasarkan untuk rakyat di negeri ini memiliki rumah sendiri.

Tidak adil apabila hanya kerajaan yang bertungkus-lumus berusaha, syarikat swasta hanya memandang dengan senyuman sedangkan poket yang penuh dengan keuntungan harus dikongsi sedikit dengan kerajaan dan rakyat yang sentiasa menyokong mereka selama ini.