Dijalankan dengan kerjasama Uber, ia menarik minat kerana se­ring diperkatakan setiap kali isu kesesakan jalan raya timbul.

Idea kongsi kereta ini pertama kali dicadangkan untuk ibu negara pada awal 1970-an oleh pasukan pakar pengangkutan awam Bank Dunia, kemudian timbul semula pada 1980-an dan juga dekad-dekad berikutnya.

Analisis yang dibentangkan Pengurus Besar Uber Malaysia dan Singapura, Warren Tseng dan Pengarah Urusan Boston Consulting Group (BCG), Rick Ramli, menggariskan potensi kesesakan diturunkan sehingga 91 peratus jika perkongsian kereta menjadi pilihan ramai.

Walaupun hasil kajian itu bermatlamat mempromosi pilihan Uberpool yang bertujuan membawa beberapa penum­pang dari lokasi ke destinasi yang lebih kurang sama, pada akhir pembentangan tidak anggaran masa untuk ia dilaksanakan.

“Kami akan melancarkan Uberpool apabila orang ramai sudah membiasakan diri de­ngan amalan berkongsi kende­raan dan bilangannya meningkat. Buat masa ini perkongsian kenderaan berada pada tahap satu hingga empat peratus sahaja,” kata Warren.

Bagaimanapun Uber kata­nya, kekal optimistik de­ngan pilihan baharu yang bakal diperkenalkan dalam perkhidmatan pe­ngangkutan tersebut apabila tiba masa yang sesuai memandangkan kini Kuala Lumpur kini menyaksikan keluar masuk lebih 5.8 juta kenderaan setiap hari.

Tinjauan yang dijalankan BCG menyatakan 51 peratus warga kota percaya perkhidmatan perkongsian kenderaan se­perti Uber boleh menggantikan kenderaan persendirian.

Peratusan tersebut hanya majoriti mudah yang belum kuat untuk membentuk set minda baharu berhubung pengangkutan di kota metropolitan kerana ramai masih selesa memandu sendiri atas beberapa alasan.

Namun pada masa sama penulis percaya semua yang mencari rezeki di kota tidak seperti ge­nerasi sebelum ini yang mengabaikan kempen kongsi kende­raan dengan pelbagai alasan.

Jika Manila dan Singapura boleh, kenapa tidak Kuala Lumpur? Kesungguhan politik pen­ting dalam isu ini dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu konsisten dalam menggerakkan pelbagai inisiatif contohnya portal kongsi kereta yang pernah diutarakan sebelum ini.

Apa juga caranya, kerjasama semua adalah penting untuk memulakan dan membudayakan perkongsian kenderaan.

Jika tidak, ke­sesakan di Le­buhraya Lingkaran Te­ngah 1 (MRR1) dan MRR2 serta jalan-jalan utama tidak akan berkurangan dan kekal sebagai ‘lingkaran terkunci’.