Para penyelam dari Kelab Penyelam Bebas Terengganu bersama 10 orang penyelam skuba  membawa lambang negara dan negeri sedalam 10 hingga 12 meter di perairan Pulau Bidong di sini melalui selaman dengan satu pernafasan tanpa memakai tangki oksigen.
 
Penolong Setiausaha Kerajaan (Unit Korporat), Raja Faisal Raja Harun memberitahu, kalangan penyelam berpengalaman ini termasuk dari Johor, Kelantan dan Kuala Lumpur mencatat sejarah tersendiri buat diri dan juga sambutan dengan menurunkan Jalur Gemilang terbesar bersaiz 16x8.

 Program bagi memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan dianjurkan oleh Jawatankuasa Program-Program Kecil Bulan Kebangsaan peringkat Negeri Terengganu 2017 dengan kerjasama Unit Korporat Setiausaha Kerajaan negeri dan kelab berkenaan.

"Ini juga merupakan satu inisiatif kempen Tahun Melawat Terengganu 2017, negeri yang mempunyai pulau-pulau indah serta dasar laut yang cantik menjadi tarikan utama bagi kalangan penggemar aktiviti selaman (scuba dive & freedive) terutama dari luar negara,"ujarnya.

Penyerahan bendera  dan pelepasan peserta dilakukan oleh Pegawai Daerah Kuala Nerus, Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil .-UTUSAN ONLINE