Pastinya tumpuan semua pe­minat kepada dua pasukan yang akan bersaing merebut Piala Sum­bangsih, iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) selaku juara Liga Super dan Kedah yang menjulang Piala Malaysia.

Yang amat dinantikan peminat adalah siapa yang bakal men­dakap piala berkenaan. Persoalan ini pasti terjawab pada malam 20 Januari ini di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin yang menjadi venue perlawanan berke­naan.

Namun bukan isu siapa menang atau kalah yang ingin di­bangkitkan Teropong Kawan kali ini.

Yang lebih penting tentang sikap dan disiplin semua yang terlibat dalam sukan bola sepak ini - pegawai persatuan/kelab, jurulatih, pemain dan penyokong.

Sudah ada niat atau azam ke dalam diri masing-masing untuk menjadi lebih berdisiplin dan mempunyai semangat kesukanan yang tinggi.

Mengapa Teropong Kawan bertanya begitu kerana sejak beberapa musim kebelakangan ini, sukan bola sepak negara 'meriah' dengan insiden pergaduhan.

Minta maaf cakap, macam orang yang tak pernah main bola sepak. Lebih memalukan padang ibarat gelanggang silat, tempat untuk menunjuk hebat.

Sikap dan provokasi serta rap­uhnya semangat kesukanan dalam kalangan pegawai, jurulatih, pemain dan penyokong mudah mencetuskan pergaduhan yang sering bermula dengan ejekan terhadap pasukan lawan.

Dengan bahang perlawanan, memang mudah perbalahan dan pergaduhan tercetus kerana setiap pasukan inginkan kemenangan untuk melonjakkan pasukan di persada liga.

Harus diakui dan ditanam de­ngan kukuh pada setiap pegawai, jurulatih dan pemain bahawa dalam perlawanan semua mahukan kemenangan, namun usah gadaikan erti dan nilai tinggi semangat kesukanan.

Bukankah sukan telah diakui semua sebagai jalinan dan jambatan pengukuhan perpaduan yang terbaik.

Sukan bola sepak sebenarnya beruntung kerana mempunyai tiga pilihan - menang, seri dan kalah.

Bagi permainan lain seperti badminton, tenis dan skuasy mi­salnya, pilihan hanya dua, sama ada menang atau kalah. Jadi sukan bola sepak lebih beruntung kerana ada seri.

Jadi, apabila menang usah ejek dan perlekeh pasukan lawan, andai seri syukurilah itu rezeki satu mata dan sekiranya kalah jangan berang sehingga mencetus pergaduhan, tetapi tanamkan azam untuk bermain lebih baik pada aksi seterusnya.

Justeru, bagi saingan musim 2017/2018 ini, semua pihak harus tanamkan azam untuk menyaksikan arena bola sepak negara bersih tanpa pergaduhan.

Majulah sukan demi perpaduan untuk negara bangsa.