Menyedari pentingnya wanita dilengkapi ilmu dan kemahiran sebelum menceburi bidang berkenaan, Persatuan Usahanita Jempol berperanan menyediakan pelbagai program bagi melatih peniaga wanita di daerah tersebut berdepan cabaran dunia keusahawanan.

Wartawan Utusan Malaysia, AZMA KHAIRUL AZHAR menemu bual Pengerusi Persatuan Usahanita Jempol, NORLIZA ABDUL KUDUS baru-baru ini tentang peranan mereka membantu dalam melahirkan lebih ramai usahawan.

 

Ceritakan peranan persatuan ini?

Persatuan ini bernaung di bawah Persatuan Usahanita ne­geri dengan setiap daerah mempunyai persatuan masing-masing. Di Jempol, kita dianggotai oleh 100 peniaga wanita dan berperanan membentuk serta melatih usahawan bergiat dalam perniagaan.

Kita menggalakkan usahawan kecil-kecilan dan usahawan yang sudah kukuh untuk bersama kita. Matlamat kita adalah untuk membantu mereka merebut peluang dan tidak ketinggalan dalam arus perniagaan.

Apakah langkah yang dilakukan bagi membangunkan ekonomi golongan wanita?

Persatuan ini adalah penggerak utama usahawan wanita di daerah ini agar mengikut trend dunia perniagaan serta memikirkan perancangan dan kemungkinan yang dihadapi pada masa akan datang.

Ilmu dan pengetahuan merupakan senjata utama dan pelbagai program pembangunan kemahiran telah dijalankan untuk memajukan diri dan memastikan usahawan bersifat kompetitif. Ini termasuk mengadakan kursus, pembiayaan, motivasi dan program kemasyarakatan.

Perancangan utama kami adalah berasaskan konsep 3P (pembungkusan, penjenamaan dan pemasaran) di mana ia akan membantu usahawan meluaskan perniagaan mereka.

Kita juga komited melahirkan usahawan berdaya saing, maju dan mengikuti trend teknologi terkini seperti pemasaran atas talian.

Bagaimana tahap kesedaran dan penglibatan usahawan wanita pada masa ini?

Sambutan daripada golongan itu amat menggalakkan kerana wanita sedar akan keadaan ekonomi semasa yang menuntut mereka untuk turut serta dalam bidang perniagaan. Wanita kini lebih terbuka dan mempunyai idea dan kesungguhan untuk berniaga.

Cabaran yang dihadapi persatuan adalah untuk mendedahkan mereka dengan pengalaman dan kemahiran tentang kemahiran pada awal sebelum terjun dalam perniagaan kerana kebanyakannya tidak mendapat pendedahan.

Melalui program ini berapa ramai usahawan wanita yang telah dibantu?

Persatuan ini aktif dalam menggerakkan usahawan dengan menganjurkan program bersama Credit Guarantee Corporation dan SME Corp., Program Ikatan Rakan Strategik bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol dan Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah.

Antara syarikat yang bernaung di bawah persatuan ini dan telah melakar kejayaan adalah Wawa Nature Herbs yang beroperasi di Bandar Baru Serting, Bandar Seri Jempol, melalui pengeluaran produk kecantikan dan kesihatan berasaskan kunyit. Dalam tempoh dua tahun, syarikat itu berjaya meningkatkan jualan melalui medium jualan dalam talian. Selain itu, ahli-ahli persatuan juga terlibat dalam aktiviti peruncitan, perniagaan dalam talian, perkhidmatan dan pertanian.

Apakah bentuk bantuan yang ditawarkan persatuan kepada usa­hawan wanita?

Selain khidmat nasihat, persatuan ini mempunyai kerjasama dengan beberapa agensi keusahawanan seperti Majlis Amanah Rakyat, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional, SME Bank, SME Corp dan bank-bank tempatan. Setiap agensi terbabit menyediakan perkhidmatan seperti menganjurkan kursus keusahawanan, geran perniagaan dan perkhidmatan pembiayaan perniagaan.

Kami juga mempunyai hubungan rapat dengan persatuan usahawan wanita lain di seluruh negara. Melalui cara itu, kami dapat berkongsi maklumat perniagaan terkini.

Apakah usaha untuk memperluaskan rangkaian perniagaan usahawan wanita?

Usaha pembangunan dan peningkatan usahawan sentiasa dilakukan dengan melatih mereka mempelajari aspek perniagaan daripada permulaan sehingga ke peringkat lebih tinggi. Kita juga membantu mereka meneroka peluang dan pasaran bukan sahaja di peringkat tempatan malah sehingga ke luar negara. Ini adalah matlamat utama kami untuk pembangunan usahawan di bawah persatuan ini.

Apakah harapan terhadap ma­sa depan usahawan wanita?Kami berharap untuk terus membantu dan memajukan usahawan wanita dengan lebih berkesan. Kami juga berharap supaya lebih ramai wanita terutama di daerah ini menyertai program yang kami jalankan supaya persatuan ini menjadi lebih aktif sekaligus memantapkan bentuk bantuan, kursus dan peluang perniagaan.