Adalah sesuatu yang pelik lagi mencurigakan apabila Waytha Moorthy cuba membawa ideologi politiknya dan bersungguh-sungguh mahu ratifikasi ICERD sebagai jalan keluarnya.

Tunjukkan kaum yang mana satu menjadi mangsa diskriminasi? Kalau dilihat dari satu sudut yang penuh muslihat dan berkepentingan, kelihatan orang Melayu diberi kelebihan dan keistimewaan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Namun kalau diteliti de­ngan jujur, orang Melayu tidak menggunakan kelebihan itu, apalagi untuk menindas kaum lain. Sebaliknya orang Melayu yang ditindas secara terhormat kerana sikap yang terlalu bertolak ansur.

Lihatlah bagaimana Perkara 152 mengenai bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang tidak diendahkan oleh kalangan bukan Melayu. Kea­daan ini ditambah pula dengan sekolah vernakular yang bahasa penghantar bahasa ibunda yang dibantu oleh kerajaan.

Sudahlah ingkar akan Perkara 152, diberi bantuan pula. Ini mendukung Perkara 152 atau apa? Selain itu, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan pun digugat pihak tertentu, walaupun Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menggariskan kebebasan mengamalkan agama selain Islam, tidak wujud langsung diskriminasi beragama terhadap kaum tertentu.

Asal usul ICERD, adalah Deklarasi Hak Manusia 1948 beracuan Barat. Lebih daripada itu, ICERD sudah sangat lapuk dalam konteks Malaysia yang jauh lebih awal tampil sebagai penentang diskriminasi di pentas dunia.

A. RAHMAN MAHADI

Presiden PPPMM