Pengarahnya, Mohd. Nawayai Yasak berkata, ia ekoran pandangan negatif masyarakat yang mengecam pihak pengurusan zoo kerana dianggap gagal menjaga keadaan haiwan dengan baik selain teguran daripada pihak kerajaan negeri sendiri.

Menurutnya, pihak Zoo Melaka bagaimanapun telah lama menyediakan pelan penambahbaikan tersebut malah ada di antaranya telah dan sedang dilaksanakan pihak pengurusan demi menjaga keselamatan haiwan selain me­ningkatkan keselesaan pengunjung.

“Kita akui kecuaian yang berlaku termasuk kematian beberapa spesies haiwan bernilai tinggi akibat dimakan ular sawa hingga menyebabkan pihak Zoo Melaka terpaksa menanggung kerugian mencecah RM50,000.

“Bagaimanapun buat masa ini, antara yang sedang dilaksanakan ialah pemasangan jaring halus tiga lapisan di beberapa sangkar burung bagi mengelak ia dima­suki ular sawa seterusnya mengurangkan risiko kematian spesies itu,” katanya ketika sidang akhbar di Zoo Melaka dan Safari Malam, Ayer Keroh, di sini.

Jelas Mohd. Nawayai, bagi perancangan tempoh masa panjang pula, pihak Zoo Melaka akan meningkatkan lagi jumlah spesies binatang yang ada di zoo tersebut dari luar negara melalui peruntukan dana sedia ada.

“Beberapa spesies yang tidak mempunyai pasangan juga akan dilengkapkan termasuk cipanzi, orang utan, mandrill dan kudu selain menambah spesies baharu yang belum terdapat di Zoo Melaka seperti seladang dan walabi.

“Langkah ini diharap dapat meningkatkan lagi keunikan zoo seterusnya menambah bilangan pengunjung baharu dan memastikan pengunjung sedia ada tertarik untuk datang kembali,” tambah­nya.

Selain itu katanya, langkah membaiki dan membersihkan ruang pameran haiwan sedang giat dijalankan demi keselesaan pengunjung bersempena musim cuti persekolahan hujung tahun ini.

“Kita berharap dengan usaha berterusan ini, ia akan membantu mengembalikan ke-gemilangan Zoo Melaka sebagai zoo terbaik di negara ini,” ujarnya.