Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, semua pihak harus memainkan peranan membantu menghidupkan kegiatan ekonomi di kawasan luar bandar bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Menurutnya, hari ini kadar migrasi generasi muda dari kawasan luar bandar ke bandar sangat tinggi disebabkan kurangnya kegiatan ekonomi luar bandar hingga menyebabkan kumpulan tersebut tidak mempunyai pekerjaan.

“Bila sebut pasal luar bandar, kita lihat banyak generasi muda berhijrah ke bandar namun timbul pula isu miskin bandar.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh salahkan mereka kerana mereka berhijrah untuk mendapatkan pekerjaan demi memperolehi pendapatan menyara keluarga dan sebagainya.

“Sebab itu kita perlu kurangkan migrasi belia luar bandar ke bandar dengan mewujudkan peluang pekerjaan itu di luar bandar supaya golongan ini boleh memperolehi pendapatan sekali gus menyara keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Seribu Seri peringkat negeri dan penyampaian Pek Jom Kembali ke Sekolah di Halaman Deris, Sungai Rambai, di sini malam ini.

Pada majlis yang dianjurkan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri itu, Rina turut menyampaikan pek persekolahan kepada 300 kanak-kanak dari seluruh negeri. - UTUSAN ONLINE