Naib Canselor Utem, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, daripada jumlah keseluruhan kakitangan cemerlang itu, 165 orang dipilih menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang atas mutu kerja membanggakan sepanjang berkhidmat bagi tempoh tahun 2017.

Menurutnya, tiga lagi kakita­ngan Utem yang telah berjasa serta memberikan khidmat bakti sepanjang perkhidmatannya menerima penghargaan khas iaitu Anugerah Sanjungan Universiti selain tujuh kakitangan dengan tempoh perkhid­matan lebih 20 tahun dikurniakan Anugerah Jasa Bakti.

“Anugerah-anugerah ini diberikan kepada semua yang layak termasuklah lantikan tetap, sementara atau kontrak bertujuan menghargai segala usaha keras, komitmen, kesungguhan dan jasa bakti dalam meningkatkan prestasi universiti.

“Ia juga sebagai pendorong kepada kakitangan lain untuk bersaing secara sihat memberikan khidmat terbaik dalam me-laksanakan tugas hakiki sebagai warga kerja Utem,” katanya ketika berucap sempena majlis Anuge-rah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Sanjungan Universiti 2017 Utem di Kampus Utem Durian Tunggal, di sini.

Yang hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Utem, Prof. Datuk Dr. Mohd. Razali Muhamad dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Utem, Prof. Datuk Dr. Izaidin Abdul Majid.

Jelas Shahrin, kesemua mereka menerima sijil, simpanan pre­mium bernilai RM1,000 serta pe­luang untuk dicalonkan me­nerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan atau negeri.