Dalam kejadian pukul 11.40 malam itu, suspek berusia 39 tahun yang menunggang motosikal bersendirian ditangkap orang ramai bersama seutas beg tangan yang diragutnya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama suaminya sedang menjamu selera di sebuah restoran di kawasan tersebut sebelum dihampiri lelaki berkenaan.

Jelasnya, suspek kemudian bertindak melarikan beg tangan mangsa sebelum dikejar oleh suaminya namun tidak berjaya.

"Suspek bagaimanapun tidak bernasib baik apabila ada orang awam yang kebetulan berada di lokasi menyedari kejadian dan membantu mengejarnya hingga tertangkap.

"Pihak polis dimaklumkan mengenai kejadian dan bergegas lokasi kira-kira lima minit kemudian sebelum membawa suspek ke balai," katanya ketika dihubungi, di sini sebentar tadi.

Jelas Afzanizar, pihaknya turut berjaya mendapatkan semula kesemua barangan milik mangsa yang diragut hasil tangkapan itu.

"Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/395 Kanun Keseksaan dan kita percaya dia turut terlibat dalam beberapa kes ragut lain di sekitar bandar ini," katanya. - UTUSAN ONLINE