Usul itu dibentangkan oleh Ketua Menteri, Adly Zahari pada persidangan hari ketiga hari ini disokong oleh dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PH iaitu Ginie Lim Siew Lin (Machap Jaya) dan Damian Yeo Shen Li (Duyong).

Adly ketika berucap membentangkan usul tersebut berkata, cadangan usul ini merupakan janji kerajaan PH pada pilihan raya umum lalu untuk membawa pembaharuan dalam sistem politik negeri sekiranya diberi mandat.

“Salah satu langkah ke arah reformasi politik yang dijanjikan ini adalah mengehadkan tempoh lantikan atau tempoh memegang jawatan tertinggi di peringkat negeri seperti jawatan ketua menteri.

“Kerajaan negeri percaya dengan mengehadkan tempoh lantikan kepada dua penggal ini ia akan dapat meningkatkan keberkesanan proses semak dan berimbang dan seterusnya mencegah penyalahgunaan kuasa,” katanya ketika membentangkan usul tersebut hari ini.

Ketika sesi perbahasan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) membangkitkan persoalan adakah DAP selaku parti yang menguasai DUN negeri ini akan meletakkan wakil rakyat mereka iaitu Norhizam Hassan Baktee (PH-Pengkalan Batu) sebagai ketua menteri.

Beliau turut menamakan beberapa wakil rakyat PH lain yang turut mempunyai potensi untuk menjadi ketua menteri iaitu Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen (PH-Paya Rumput) dan Muhammad Jailani Khamis (PH-Rembia) menunjukkan kerajaan negeri akan `kelam kabut’ bagi menentukan siapa yang bakal mengisi jawatan tersebut.

“Kami di pihak pembangkang tidak kisah siapa yang jadi ketua menteri, sebaik-baiknya berilah peluang kepada YAB Adly dahulu memimpin Melaka, kita sokong tetapi kenapa Melaka tidak ikut Sabah yang melaksanakan sistem penggiliran?,” katanya.

Pada akhir sesi perbahasan sebelum bersambung semula esok, Timbalan Speaker DUN, Datuk Dr. Wong Fort Pin memaklumkan sebanyak 13 Ahli Dewan Undangan Negeri menyokong usul berkenaan. - UTUSAN ONLINE