Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata kerajaan negeri di bawah PH mengamalkan demokrasi dalam pentadbiran mereka dan penjawat awam berhak

Adly Zahari
Adly Zahari 

menyertai mana-mana parti politik yang ada di negara ini.


Beliau berkata penilaian terhadap pencapaian atau prestasi penjawat awam juga tidak dinilai berdasarkan latar belakang politik sebaliknya menerusi syarat yang ditetapkan termasuk Laporan Penilaian Prestasi Tahunan.


"Kita di bawah PH tidak pernah menilai prestasi penjawat awam di negeri ini berdasarkan kecenderungan politik mereka sebaliknya penilaian berdasarkan prestasi, integriti dan sebagainya.


"Jadi dakwaan yang dibuat adalah tidak berasas sama sekali dan ia berniat tidak baik terhadap kerajaan negeri* ia perlu diperbetulkan," katanya kepada pemberita selepas Program Hari Bertemu Rakyat di sini, hari ini.



Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan dibuat menerusi 'Facebook' menggunakan nama sayap parti politik pembangkang negeri itu baru-baru ini bahawa guru SRA JAIM dipaksa melepaskan jawatan dalam UMNO atau isytihar keluar parti dan wajib menyertai parti politik dalam PH jika ingin terus berkhidmat.


Sementara itu, pada program itu, sebanyak 66 aduan diterima melibatkan pelbagai isu termasuk kebajikan, tanah dan surat sokongan kewarganegaraan dan pekerjaan.


Mengulas lanjut, Adly berkata kerajaan negeri akan terus memberikan maklumat yang betul dalam usaha memerangi berita palsu yang disebarkan dengan niat memburukkan PH di negeri ini.


Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) berkata pihak pengurusan berkenaan diingatkan memastikan pemain import yang bakal menyertai pasukan Melaka United pada musim hadapan perlu bebas daripada kecederaan.


Katanya pemilihan yang lebih berhati-hati perlu dilakukan bagi mengelak pihak pengurusan berhadapan dengan masalah teknikal atau ketika mengatur strategi untuk musim hadapan.


"Pengambilan khidmat pemain import melibatkan peruntukan yang besar dan kecederaan yang dialami akan memberi kesan kepada prestasi dan pelaburan yang dilakukan," katanya.- BERNAMA